Payudara Dan Cinta



"Sejak saya sakit ni, payudara dah tak ada, rambut pun gugur, suami seperti jijik nak duduk dekat saya."



Luah seorang wanita yang lelah berjuang melawan kanser payudara - ada keluh, duka, pasrah dan tabah dalam tuturnya.Wad 26, wad paliatif, khas untuk rawatan dan layanan pesakit-pesakit kanser pelbagai tahap di HBPP, mempersembahkan bermacam-macam cerita untuk saya, walaupun hanya seminggu praktikal di situ. Mata dan telinga saya menjadi saksi, jururawat turut berkongsi kisah. Alangkah sakitnya tubuh dimamah kanser, sakitnya pula jiwa disisih suami, setelah badan dicap penyakit, dan rupa tidak seanggun dulu.



Bukan dia seorang yang mengalami nasib seperti itu. Wanita-wanita yang sakit ini, apabila kehilangan payudara setelah melalui pembedahan membuang kanser, ditandai pula tubuhnya dengan kesan-kesan radioterapi dan kemoterapi, mengeluh pedih... pandangan suami, entah mengapa, tidak seperti dahulu.



Saya masih belum berkahwin, belum mengerti apa itu kasih suami, bagaimana pula peranan seorang isteri, tetapi hati kecil ini seperti ngeri membayangkan - apakah ertinya cinta yang dilafaz sewaktu akad nikah, jika isteri yang memerlukan sokongan, kasih dan belai dalam saat-saat getir hidupnya, dipandang dengan dingin, malah ditanggapi suami seolah-olah sekujur dirinya itu mendatangkan jijik dan gerun?

Barangkali,  para wanita ini rela hanya mendiam apabila terjumpa ketul atau bengkak pada payudara masing-masing. Ketul kecil, ah, mungkin ia akan hilang begitu sahaja. Ketul kian besar, bercambah melata, diri kian takut, lalu jadi seperti kasawari ketakutan yang menimbus kepala dalam lubang, seperti manusia yang menyangka halilintar akan reda apabila ia memekup telinga dan memejamkan mata.



Rela memendam, menahan, hingga ketul dan bengkak kian besar, membarah, pecah bernanah. Ada yang bertemu doktor pada peringkat awal, dirancang untuk rawatan, tetapi kemudiannya 'lari ketakutan' setelah mendengar 'nasihat' daripada bermacam-macam 'pakar' di kampung, di rumah, di tempat kerja... senyap membisu dan datang semula setahun kemudian dengan payudara yang sudah tidak ada rupa.



Begitulah manusia - begitulah wanita - begitulah insan-insan ini, yang bergelar ibu dan isteri. Saya berasa takjub menyaksikan bagaimana pesakit akan segera ke hospital kerana sakit perut atau sembelit, begitu cepat, begitu lekas, walaupun adakalanya aduan mereka sebenarnya amat renyah. Saya tambah takjub menyaksikan betapa banyaknya pesakit yang membiarkan payudaranya bengkak menanah berbulan-bulan, barulah mahu merangkak ke hospital mencari rawatan yang hakikatnya sudah hampir tidak dapat menyembuhkan apa-apa.



Saya lebih-lebih lagi takjub membayangkan bagaimana suami-suami mereka, tergamak membiarkan isteri membawa payudara yang bengkak, berkudis, bernanah.. tanpa menggunakan 'kuasa' atau setidak-tidaknya 'cinta' untuk mengheret sang isteri mendapatkan rawatan. Aduh, kekuatan suami itu hanya ada pada talak, memadu isteri dan membentuk isteri 'menjadi solehah' sahajakah?



Tidak saya nafikan, banyak juga kisah cinta yang berlaku di hadapan saya. Para suami yang tabah setia di sisi isteri, dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi, memberi kekuatan dan duduk menemani setiap kali belahan jiwanya dimasukkan ke wad untuk mendapatkan rawatan. Tenang wajah dan lembut pujukan, menyebabkan saya kagum dan cemburu kepada isteri-isteri mereka.



Saya masih mentah untuk menanggapi apa itu cinta, dan tubuh kurniaan Allah ini masih sihat untuk mengerti bagaimana peritnya menanggung sakit yang memusnahkan anggota. Yang saya punya adalah mata, telinga, hati dan akal yang memerhati peka - serta dua tangan yang berkali-kali diizinkan Allah untuk menyentuh sepasang permata paling berharga milik pesakit-pesakit di situ, permata yang menakung sejuta cerita.



Syukran jiddan ..sudi baca entry nie


15 comments

9 September 2012 pada 9:05 PG

kesian kat para isteri, dugaan tuhan dtg pelbagai cara. Semoga kita semua tabah

9 September 2012 pada 10:41 PG

hmm...
semoga perempuan2 di luar sana tabah!

9 September 2012 pada 10:55 PG

Ya Allah, tak sanggup nk bayangkan bila diri berada dlm situasi tu. sakit & suami mula memandang jijk.sakit itu bukan kita pinta, berat mata memandang berat lg bahu yg memikul kan.. semoga mereka2 di luar sana yg sakit terus tabah menempuh ujian Allah ni

Tanpa Nama
9 September 2012 pada 7:10 PTG

@babycomeltapi jika lelaki yang tinggalkan isterinya bila sakit bermaksud laki itu hanyalah sayang sementara dan lebih bek bagi pandangan sayer mereka berpisah kerana apabila dibiarkan perpisahan tetap akan terjadi

9 September 2012 pada 8:00 PTG

semoga wanita yg mengalami ujian seberat ini tabah dalah menempuhi hidup yg mendatang..

http://heartylolipop.blogspot.com/

9 September 2012 pada 9:23 PTG

ya allah.. kesiannya si isteri tu.. alahai para suami.. bahagiakan lah mereka selagi mereka masih ada..

9 September 2012 pada 10:21 PTG

Walaupun saya bukan wanita saya memahami pedih dan peritnya kehilangan sesuatu. Semoga anda sentiasa tabah, jadikan ia sebagai ujian Allah S.W.T.

9 September 2012 pada 11:56 PTG

Sakit yg paling digeruni semua wanita kat dunia ni..Harap mereka tabah dan sabar..

10 September 2012 pada 2:19 PG

a husband shud realize it too when something goes wrong with the wife.xkan tak perasan ada lump ? lg pula bernanah...Kalau benar sayang, he will do anything to get the best for her, bukan menyepi - sepi begitu tandanya malu utk membiarkan khalayak tahu keadaan si isteri...hmph, dont know what to expect from a marriage.. thats explain why i'm not married yet

10 September 2012 pada 11:32 PG

Mudah-mudahan wanita dan para isteri ini diberikan kekuatan untuk merawat diri sendiri dan penyakit yang dihidapi mereka.

19 September 2012 pada 2:42 PTG

saya suka blog awak! ^^

20 September 2012 pada 5:54 PTG

nice post, (':

20 September 2012 pada 8:17 PTG

sama2 la kita jaga kesihatan...

Tanpa Nama
21 September 2012 pada 3:09 PG

selamatkan dunia dengan ISLAM

23 September 2012 pada 3:30 PTG

Isteri akan lebih tabah menghadapi ujian Allah seandainya suami sentiasa berada disisinya memberikan sokongan moral buatnya...

Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Full Edit By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.