SALAHKAH AKU MENCINTAIMU


Remaja dan cinta, dua perkara yang bagaikan sudah
sebati. Rasa cinta bertandang di dalam jiwanya tanpa
diundang. Keinginan itu tidak payah dipelajari dan
dicari. Lelaki inginkan cinta wanita dan begitulah
sebaliknya. Walaupun kadangkala ia cuba dilawan, namun
rasa "ajaib" itu datang jua. Apalagi kalau cinta itu
disuburkan, maka makin marak dan menggilalah jadinya.
Bila cinta mencengkam diri,makan tak kenyang, tidur
tak lena dibuatnya.

Sedemikian indah dan damainya syurga, namun Nabi Adam
a.s. berasa kesunyian dan inginkan teman .Lalu Allah
ciptakan Siti Hawa dari tulang rusuknya. Dan kita anak
cucu pewaris rasa cinta itu akan sentiasa rasa
terpisah dan gelisah selagi tidak bersama dengan yang
dicintai.

Rasa Cinta Tak Salah

Lalu hati remaja selalu berkata, apakah salah kami
bercinta? Ya, rasa cinta memang tak salah. Ia adalah
fitrah semulajadi yang Allah kurniakan kepada setiap
manusia. Ingin cinta dan dicintai. Jiwa manusia
memerlukan cinta seperti jasadnya perlukan makanan.
Oleh kerana cinta adalah fitrah, maka tentulah tidak
salah merasainya. Namun Allah tidak kurniakan rasa
cinta secara polos begitu sahaja. Dia juga mencipta
peraturan cinta demi menjaga kemurniannya. Peraturan
inilah yang kerap dilanggar. Rasa cinta tidak salah
tetapi kesalahan selalu berlaku sewaktu menjalinkan
hubungan cinta. Di sinilah remaja selalu terjebak.
Cinta terlarang adalah cinta yang menafikan peraturan
Allah. Ketika itu fitrah telah menjadi fitnah. Bila
kehendak semulajadi tidak-disalurkan atau diisi
mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan
kemusnahan.

Mengapakah perlu ada peraturan cinta? Jawabnya, kerana
Allah mencintai manusia. Allah inginkan keselamatan
dan kesejahteraan buat manusia melaksanakan keinginan
fitrah semulajadinya.

Keinginan tanpa peraturan akan menyebabkan banyak
kemusnahan. Begitulah hubungan cinta. Cinta yang
terlarang, akan membawa banyak implikasi negatif dalam
kehidupan. Pengalaman sudah pun mengajar kita jangan
sekali-kali bermain cinta, nanti terbakar diri. Sudah
banyak tragedi yang berlaku akibat hubungan cinta yang
membelakangkan Allah.

Cinta yang terlarang adalah cinta yang sudah dicemari
oleh kehendak nafsu dan kepentingan diri. Keindahan
cinta yang sudah tercemar ini tidak tahan lama. Sudah
dapat yang dihajati, sudah terlaksana apa yang
dikejar, cinta akan terkulai dan bersepai.

Hubungan cinta jangan dicemari oleh sebarang tindakan
menyalahi syariat. Lebih banyak pelanggaran hukum
berlaku, lebih tinggilah risiko kemusnahan yang akan
berlaku. Jangan kita tertipu dengan pesona cinta yang
dihiasi pelbagai janji dan sumpah setia. Jangan kita
mabuk dengan rindu dan asyik yang membuai dan
melenakan. Seteguk kita minum dari dari Cinta
terlarang, racunnya akan meresap membunuh akal, jiwa
dan perasaan.Pada ketika itulah cinta dikatakan buta.
Maka butalah mata hati dan mata kepala hingga
seseorang akan menjadi hamba kepada siapa yang
dicintainya, Ketika itu hati tidak nampak yang lain
kecuali apa yang dicintai. Lupalah diri pada Pencipta
cinta kerana terlalu asyik dengan cinta yang
dikurniakan-Nya Bagaimanakah perasaan agaknya, jika
seseorang begitu leka dengan hadiah hingga terlupa
bersalam dan berterima kasih dengan pemberinya?

Pohon Cinta Terlarang

Allah kerap dipinggirkan dalam hubungan cinta yang
terlarang. Hukum-Nya dilanggar bukan dengan rasa
bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah. Tangan
kekasih dipegang walaupun jelas Allah mengharamkan
sentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan muhram.
Tergamak berdua-duaan di tempat sunyi walaupun sudah
diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaaan begitu
syaitan adalah pihak ketiga. Lebih dari itupun banyak
yang berlaku. Semuanya seolah-olah halal hanya kerana
cinta. Racun-racun berbisa yang memusnahkan cinta
telah dianggap sebagai baja. Akhirnya pohon cinta
terlarang pun berbuah. Buah Yang pahit, masam dan
memabukkan. Buah yang muncul dengan pelbagai jenama
yang aneh dan menjijikkan bohsia, bohjan, buang bayi
dan zina. Ketika itu indahkah cinta?

Peraturan cinta bagi tanda-tanda dan lampu isyarat di
atas jalan raya. Kereta diciptakan dengan kuasa untuk
bergerak, tetapi pergerakkannya perlu diatur dan
dikawal. Jika tidak, dengan kuasa ituakan berlakulah
perlanggaran dan pertembungan. Begitulah cinta, ia
adalah kuasa tetapi kuasa itu perlukan peraturan dan
kawalan. Apakah peraturan-peraturan dalam hubungan
cinta? Hendaklah cinta kita berdasarkan kepada cinta
Allah. Ertinya, cinta yang kita berikan kepadanya
semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah. Allah
memberi kita fitrah itu lalu kita niatkan dengan
fitrah itu boleh menghampirkan diri kepada-Nya.
Cintailah sesiapapun, tetapi pastikan cinta itu dapat
memudahkan kita mencintai Allah. Sehubungan dgn itu,
cinta antaral elaki dan perempuan mestilah diniatkan
untuk Allah.

Soalnya bagaimana?

Iringilah dengan niat untuk berkahwin kerana berkahwin
itu lebih memudahkan seorang lelaki dan

perempuan menyempurnakan agamanya. Oleh itu, usahlah
bercinta sekadar utk bersuka-suka. Lebih buruk lagi
janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta sama
ada didorong oleh hasutan nafsu atau bujukan syaitan.
Jika tidak ada niat untuk berkahwin, cinta sudah pasti
bukan kerana Allah Hakikatnya cinta itu adalah cinta
terlarang yang akan membawa kemusnahan. Cinta jenis
ini seburu namanya - Cinta Monyet!

Putus Cinta

Hendaklah dipastikan semasa menjalin hubungan cinta
tidak ada hukum Allah yang dilanggar. Antaranya, tidak
ada pergaulan bebas, tidak ada pendedahan aurat, tidak
ada pengabaian perkara asas seperti meninggalkan
sembahyang, puasa dan lain-lain. Hubungan cinta jangan
sampai terjerumus dalam perkara yg melalaikan dan
merugikan. Maka, remaja tidak senarusnya mengeluh ,
"Cinta apa namaya ini jika tidak ada dating, perbualan
telefon maraton, surat cinta, sentuhan tangan,
kerlingan dan senyuman? Yakinlah, tidak ada keindahan
dengan melanggar peraturan Allah. Putus cinta dan
kecewa bercinta yg begitu dominan dalam kehidupan
remaja adalah disebabkan racun-racun cinta yang
disangka baja ini. Justeru banyaklah cinta yang gagal
disambung di alam perkahwinan dan lebih banyak putus
tanpa sempat menempuh perkahwinan.

Allah Maha Mengetahui dan Maha Menyayangi. Segala
peraturan-Nya dibuat dengan rasa cinta terhadap
hamba-hamba-Nya. Cinta suci mampu tumbuh tanpa semua
itu. Dan cinta itu pasti akan membawa ke gerbang
perkahwinan untuk bercinta lagi dengan seribu
keindahannya. Bahkan jika diizinkan oleh takdir-Nya,
cinta itu akan terus bersambung ke alam akhirat, suami
yang soleh dan isteri yang solehah akan bercinta lagi
di syurga. Ketika itulah fitrah akan menjadi
anugerah...........................................
Jaga Iman, Hiasi Amal..


Syukran jiddan ..sudi baca entry nie


SOLAT 5 WAKTU TETAPI MASIH BUAT MAKSIAT




Salam bahagia dan salam mesra dari saya untuk anda semua yang mengunjungi blog saya yang tidak seberapa ini. Saya doakan anda semua berada dalam keadaan sehat dan dibanyakkan rezeki dari Allah. Post atau artikel kali ini adalah untuk menceritakan orang yang solat tetapi main nombor ekor (judi). Firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.” (Al-Ankabut : 45).

Zaman sekarang ini, ramai orang yang tidak solat dan ramai juga orang Islam yang solat tetapi tidak khusyuk kepada Allah. Sebab itulah solat bagi orang yang tidak khusyuk tidak dapat menyelamatkannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar. Masih ramai orang Islam yang solat lima waktu, tetapi mereka juga menikam nombor ekor, main judi, arak, tenung nasib, zina dan sebagainya. Manusia di zaman moden ini hanya melakukan solat untuk melepaskan kewajipan sahaja dan tidak menghiraukan perintah solat yang sebenarnya iaitu solat dengan khusyuk.

Solat dari segi bahasa adalah doa dan sari segi istilah atau syaraknya ialah perbuatan yang dimulakan dengan katbir dan disudahi dengan salam dengan syarat-syarat yang tertentu. Dalam solat diibaratkan seolahnya hendak berjumpa dengan Allah dengan rasa lemah diri, rasa hina dan takut akan segala perbuatan dosa yang telah dilakukan. Mengerjakan solat perlu khusyuk dan tawaduk kepada Allah, kerana solat bagi orang yang tidak khusyuk tidak akan diterima dan diibaratkan seperti kain buruk yang tiada gunanya lagi. Sepertimana firman Allah yang bermaksud :

“Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu adalah orang yang menindas dan melakukan kezaliman kepada anak yatim, dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makan yang berhak diterima oleh orang miskin. (Kalau orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang solat (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada meyempurnakan solatnya (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya), Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).” (Al-Ma’un : 1-7).

Rumusan dari ayat di atas ini, bahawa celakalah bagi orang yang solat tidak khusyuk dan lalai dalam solat mereka. Tempat bagi orang yang lalai mengerjakan solat adalah neraka wil iaitu satu lembah dalam neraka yang Allah sediakan untuk orang-orang yang lalai dalam solatnya.

Dari segala cerita di atas tidak hairanlah kalau orang yang kuat sembahyang kuat mengaji dan pakai jubah atau serban besar melakukan dosa besar, kerana itu semua bukan menjadi ukuran bagi orang Islam. Ukurannya adalah orang yang ikhlas melaksanakan ibadah kepada Allah. Sebab itu dalam Islam ada tiga konsep asas dalam Islam iaitu Akidah (ilmu yang membincangkan keesaan Allah), Fiqh (ilmu yang membincangkan hal-hal yang berkaitan ibadah) dan Ihsan (ilmu ikhlas, tasawuf dan akhlak kita kepada Allah, manusia dan alam).

Haram bagi sesiapa yang bermain judi dan perkara ini sangat ditegah dalam Islam melalui firman Allah yang bermaksud :

"Hai orang-orang mu'min! Sesungguhnya arak dan judi dan berhala dan azlam adalah kotor, berasal dari perbuatan syaitan; oleh karena itu jauhilah, supaya kamu beruntung," (Al-Maidah: 90).

“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah : Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya. Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah yang lebih dari keperluan. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu supaya kamu berfikir.” (Al-Baqarah : 219)

Nasihat kepada diri saya dan semua pengunjung, marilah bermuhasabah diri untuk mencari kebenaran Islam. Adakah solat yang telah dilaksanakan sepertimana yang dituntut oleh Allah? atau mengerjakan solat hanya untuk melepaskan yang wajib sahaja? Cubalah perbetulkan solat dengan segala ilmu yang dimiliki. Berdoalah kepada Allah supaya segala amalan yang dilakukan dapat diterima oleh Allah. Selagimana masih melakukan dosa dan maksiat, maka selagi itulah solat belum sempurna dan diterima Allah. Ingatlah di dunia sahaja untuk melakukan ibadah dan mencari restu ilahi, kerana di akhirat nanti tiada peluang lagi untuk mencari kebaikan dan pahala Allah lagi.

POSTED BY USTAZ NOR AMIN SAYANI BIN ZAINAL


Syukran jiddan ..sudi baca entry nie


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Full Edit By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.