Bila berdepan dengan sepuluh orang manusia, pasti akan jumpa sepuluh ragam, sikap dan cara pemikiran yang berbeza hatta dua orang kembar seiras sekalipun pasti punya ragam dan cara berfikir yang berbeza. Hebatnya ciptaan Allah s.w.t.
Siapa yang mampu menutup mulut orang? Mereka punya hak 'kebebasan bersuara'. Apa yang dibuat semuanya tak kena pada pandangan mereka. Yang betul cuma mereka namun pada saya mereka adalah golongan yang 'banyak main' dan cuma tahu menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah saja.
Tidak peliklah kalau kita anggap perkara itu adalah perkara biasa kerana keadaan yang sama pernah berlaku kepada Luqman al Hakim. Pernah suatu ketika, beliau mengajak anaknya keluar ke pasar. Beliau mengenderai seekor keldai manakala anaknya pula mengekorinya dengan berjalan kaki.
“Teruknya orang tua ini, anaknya yang kecil dibiarkan berjalan kaki sedangkan dia bersenang-lenang menunggang keldai,” kedengaran suara dari sekumpulan manusia yang melihat mereka.
"Wahai anakku, dengarkah engkau apa yang mereka perkatakan itu?” tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya.
“Dengar ayah,” jawab anaknya sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Sekarang engkau naiklah ke atas keldai ini, biar ayah menariknya,” katanya sambil mengangkat anaknya ke atas belakang keldai.
“Nampakkah kalian betapa anak yang tak pandai mengenang budi ayahnya yang sudah tua. Disuruhnya ayahnya menarik keldai sedangkan dia yang masih muda menunggangnya, sungguh tidak patut,” kata sekumpulan manusia lain yang mereka temui di tengah, perjalanan.
“Dengarkah engkau apa yang mereka perkatakan?” tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya.
Anaknya mengiyakan pertanyaannya itu.
“Sekarang engkau turun dari keldai ini, dan kita sama-sama berjalan kaki,” kata Lukmanul Hakim. Anaknya segera turun dari keldai.
Tak berapa lama kemudian mereka bertemu pula dengan sekumpulan manusia yang lain. “Alangkah bodohnya orang yang menarik keldai itu. Keldai untuk dikenderai dan dibebani dengan barang-barang, bukan untuk diseret seperti lembu dan kambing,” kata mereka.
“Dengarkah engkau apa yang mereka kata?” tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya lagi.
“Dengar ayah.”
“Kalau begitu marilah kita berdua naik ke atas belakang keldai ini,”
Tidak berapa lama selepas itu mereka terdengar perbualan sekumpulan orang yang lain pula. “Sungguh tidak bertimbang rasa mereka ini, keldai yang kecil ditunggangi berdua!” kata mereka.
Lukmanul Hakim lalu bertanya kepada anaknya, “Adakah engkau dengar apa yang mereka perkatakan?”
“Ya ayah, saya dengar.”
“Kalau begitu marilah kita dukung keldai ini,” kata Lukmanul Hakim
Dengan bersusah payah mengikat keempat-empat kaki, akhirnya mereka berjaya mendukung keldai itu. Dan dalam keadaan itu jugalah mereka mula berjalan, dengan bebanan menanggung seekor keldai. Apabila orang ramai melihat gelagat mereka berdua, mereka ketawa terbahak-bahak. “Ha! ha! ha! Hei! Lihatlah orang gila mendukung keldai!”
“Dengarkah engkau apa yang mereka katakan?” dia bertanya kepada anaknya lagi.
“Dengar ayah,” jawab anaknya.
Mereka meletakkan keldai itu ke tanah. Beliau pun menyatakan hikmah di sebalik peristiwa tadi, “Anakku, begitulah lumrah manusia. Walau apapun yang engkau lakukan, engkau tidak akan terlepas dan kata-kata mereka. Tak kira benar atau salah, mereka tetap akan mengata.”
“Ingatlah anakku bila engkau bertemu kebenaran janganlah engkau berubah hati hanya kerana mendengar kata-kata orang lain. Yakinlah dengan din sendiri dan gantung harapanmu kepada Allah.”
Begitulah sikap manusia, punya 1001 ragam. Kalau seseorang yang aktif dengan persatuan, salah pada pandangan mereka(mahu mengejar jawatan katanya). Bagi mereka yang memfokuskan pada belajar dan talaqqi juga tidak kena disisi mereka. Tidak kurang juga yang mampu mengimbangi antara keduanya, juga tidak wajar pada mereka.
Habis, apa yang seharusnya dibuat? Adakah patut mencontohi sikap yang pemalas(malas talaqqi dan malas buat kerja), banyak main, leka dengan chatting dan melayan Facebook serta kuat berjalan dan suka tidur??? Betulkan sikap dan ubah peribadi sebelum mengatakan orang itu tidak kena dan orang ini tidak betul kerana setiap kata-kata akan memantul kembali kepada diri sendiri... ditujukan khas untuk diri sendiri...