Dia yang tidak dapat menerima takdir




Dia, apabila didatangi doktor, akan mula mencungap-cungap, hingga stetoskop yang ditekap ke dada pun keliru, yang didengar ini bunyi penyakit atau bunyi resah cuaknya? Wajah keruh dan kerut dahinya jelas menampakkan bahawa lelaki penghujung enam puluhan itu begitu gelisah dan takut.



Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

[Ali-Imran, 3:185]



Saya praktikal di wad hematologi. Pesakit yang datang menginap, rata-rata yang sakitnya berat, ruwetnya tenat. Leukemia, limfoma, myelodysplasia, myelofibrosis, myeloproliferative disorder... kanser darah, kata orang.



Sebahagian besar pesakit di wad ini, yang kansernya sudah berjaya dihalau dengan rejim dadah kemoterapi, tetapi datang kembali (relapse). Dan umumnya, apabila kanser datang kembali setelah dihalau, terkamnya lebih ganas, cengkamnya lebih keras. Peluang untuk sembuh, lebih sempit.



Pesakit ini, dia ini, datangnya kerana jangkitan kuman pada paru-paru, padah limfoma yang hadir semula. Relapsed lymphoma. Penyakit yang menyerang sistem imun, menyebabkan sistem imun badan gagal berperanan dengan baik, malah menjajah fungsi tubuh yang lain. X-ray paru-parunya hampir putih keseluruhan, petanda radang yang berleluasa. Dia diberi antibiotik. Jangkitan paru-paru semakin sembuh, tetapi penyakit kansernya, tidak begitu.



Doktor memutuskan bahawa tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukan. Penyakitnya bermaharajalela. Tubuh tuanya yang lemah, tidak mampu lagi menanggung terjahan dadah kemoterapi. Yang boleh dilakukan, cumalah rawatan paliatif, meredakan kesakitan dan menyelesakan kehidupan sementara menunggu kematian.



Hari Sabtu, dia diberitahu keputusan itu oleh doktor yang menjaganya. Dia menangis-nangis tidak percaya. Sedih amat.



Hari Ahad, dia diajak berbincang tentang perancangan seterusnya, oleh seorang doktor lain. Dia beraksi terperanjat. "Benarkah? Saya tak tahu penyakit saya sudah datang semula! Saya tak tahu ia tidak boleh disembuhkan lagi!" ...seolah-olah, semalam, tidak ada sesiapa datang menjelaskan apa-apa kepadanya.



Hari Isnin, jururawat Macmillan (specialist nurse yang menguruskan kebajikan pesakit kanser) mengunjunginya, mahu berbincang lagi. Di manakah dia mau beristirehat (sebetulnya, mau menunggu mati)? Di rumah, atau di hospis?



Dia menangis dan meraung tidak percaya.



"Benarkah penyakit saya sudah datang semula? Tidaaaaaakkkk...."



Dia gelepar, menangis, meraung. Seolah-olah baru pertama kali mengetahui berita penyakitnya, langsung tidak dapat menerima. Jururawat terkesima, kaget terpana. Bukankah doktor-doktor tadi sudah dua kali memberitahunya tentang khabaran ini?



Sepanjang minggu, dia begitu. Menangis dan merintih. Kadang-kadang dia berada di atas katil, adakalanya tergeletak di atas lantai. Jururawat yang menjaga, doktor yang lembut bicara, tidak berjaya mendamaikan walaupun sedikit. Kondisinya tidak pernah tenang. Wanitanya (saya tidak tahu isteri atau temannya) hanya terdaya duduk di sisi dengan wajah keruh, atau berada di luar bilik mengesat air mata.



Dia yang tidak dapat menerima takdir.



Sabtu kedua, tiba. Saya merajinkan diri hadir ke wad juga walaupun hujung minggu. Dia masih ada di biliknya, duka lara serabut kelat punah rasa seperti selalu, ditemani wanitanya yang sedih tidak terkata apa-apa.



Ahad, saya tidak ke sana. Isnin, saya memohon cuti sehari. Ada kesulitan peribadi.



Selasa, ke wad seperti biasa. Doktor bersuara rendah,



"Dia sudah meninggal dunia."



Saya, menelan liur dan bertanya.



"Bila? Mengapa?"



"Ahad. Dalam sijil kematiannya ditulis, penyakit yang melarat dan kegagalan sumsum tulang (progression of disease, bone marrow failure)."



Dia, sudah tiada.



Perginya, adakah dalam keadaan tenang, damai dan redha?



Atau resah, gelepar, meraung atau merintih, tidak dapat menerima?



Adakah nama Tuhan walau sepatah dalam hatinya?



Apa khabar pula rohnya sekarang? Allahua'lam, Allahua'lam, hanya Allah yang Mengetahui.





Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).

[Al Mulk, 67:1-2]



Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh...

[An-Nisaa', 4:78]


Saya, apa yang dapat kupelajari daripada episod ini?



Syukran jiddan ..sudi baca entry nie


4 comments

13 September 2012 pada 6:21 PTG

iktibar utk yg hidup...ketika sihat beringat...

13 September 2012 pada 7:19 PTG

Semoga menjadi pengajaran kepada kita semua termasuklah diri saya.

13 September 2012 pada 9:16 PTG

sedih.. :(

ambil iktibar untuk diri saya..

14 September 2012 pada 10:18 PG

setiap sesuatu yg hidup pasti akan merasai mati...
iktibar utk dri sy sndiri juga supaya redha menerima takdir yg sudah tertulis...

#kisah pesakit ni mengingatkan saya pada arwah kawan sekelas mase stdy di unisel...kanser limfoma(jujurnya,dlu xpernah tau ape itu kanser limfoma...)
kawan sy tu muda lagi,mase arwah meninggal umurnya baru 21tahun...tp ajal yg tertulis tiada tua,tiada muda...bila sudah sampai,malaikat akan laksanakan tanggungjawab...
kami dpt tahu arwah ade kanser tu akhir bulan 3 tahun 2010,mase tu da stage 2...tp Allah lebih sygkan dia, bulan 5 tahun yg sama,arwah sudah meninggal...mujur sempat melawat arwah di ICU...kesian tgk arwah,orgnya kecik saja,tp bila tgk beberapa hari sblm arwah meninggal,seluruh badan termasuk mukanya membengkak..(xtau kenapa jd gitu...)...sadis perasaan saat dpt tahu berita kematiannya...T.T...tp hanya doa mampu di titipkan...

#al-fatihah

Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Full Edit By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.