Education Sex Part II sebagai sambungan yang seterusnya.klik sini. Nak tahu lebih lanjut lagi jom kita baca maklumat di bawah.
IMPLANON mula diperkenalkan kepada wanita Malaysia pada awal September 2000 sebagai kaedah implan hormon untuk kajian dan setahun kemudian kaedah ini sudah ada dalam senarai kaedah merancang keluarga Negara.
SELAMAT: Implanon dipasang di bawah kulit di bahagian pertengahan lengan.
Pengalaman awal mengenai kaedah ini ialah seperti berikut:
•70 wanita berumur antara 18-40 yang berkahwin dan berhasrat merancang keluarga untuk jangka masa panjang menerima Implanon sebagai kaedah merancang keluarga.
•Wanita ini diberi bimbingan mengenai kaedah dan penerangan cara kaedah itu dipasang dan mereka hadir pada waktu yang ditetapkan doktor untuk pemasangan.
•Kesemua wanita mendapati pemasangan Implanon selamat dan tiada masalah. Pemasangan dilakukan kurang 30 saat (0.28 minit).
•Kaedah ini berkesan sebagai kaedah pencegah kehamilan. Tiada laporan kehamilan. 11 wanita yang selesai mengamalkan kaedah berjaya hamil dalam masa yang singkat. Ini menandakan Implanon tidak mengganggu tahap kesuburan bekas pengguna kaedah itu.
•Waktu pendarahan biasa dan ringan (vaginal spotting) antara 9-23 hari dan waktu kering antara 19- 37 hari. Pendarahan berlaku secara tidak tetap antara 5-21 hari. Empat wanita menolak Implanon kerana masalah pendarahan yang panjang. Wanita lain dapat terima perubahan kepada waktu haid dan tidak rasa terganggu. 88 peratus wanita akui yang mereka puas dengan Implanon
•Kesan sampingan seperti pendarahan yang berpanjangan (5.8%), kenaikan tekanan darah (13%), pening kepala yang ketara (dua kes) dan perubahan kepada laporan PAP smear (satu kes) tidak banyak dan tidak serius.
•Implanon mudah ditanggalkan dan prosedur itu hanya seminit tanpa kesan sampingan.
Rumusan daripada kajian itu ialah kaedah Implan selamat, berkesan dan diterima wanita Malaysia sebagai satu pilihan merancang keluarga melalui pendekatan hormon merancang keluarga untuk jangka masa panjang sekurang-kurangnya tiga tahun. Kaedah ini tidak menjejaskan kesuburan wanita dan kemungkinan wanita itu hamil boleh berlaku secepat dalam sebulan Implanon dikeluarkan daripada lengan tangannya.
Mengenai pendarahan yang berpanjangan masalah ini bukan serius dan boleh ditangani jika ia berlaku kepada mana-mana wanita yang ingin mencuba kaedah Implanon. Kata orang belum cuba belum tahu.
Memasang Implanon
IMPLANON ialah kontraseptif hormon yang mengandungi 68 mcg Etonogestrel dalam implan penghantar yang fleksibel untuk jangka panjang, iaitu untuk tiga tahun. Ia sebesar batang mancis dan ia dipasang di bawah kulit lengan tangan kiri (jika wanita itu menggunakan tangan kanan) atau sebaliknya jika wanita itu menggunakan tangan kiri.
Susuk ini mengeluarkan lebih kurang 40 mikrogram hormon progestogen-Etonorgestrel dalam 24 jam. Hormon ini:
•Menghalang ovulasi dengan cara mengawal pengeluaran hormon LH
•Meningkatkan kepekatan lendir serviks yang menghalang pergerakan dan penembusan sperma
•Mencegah kehamilan selama tiga tahun
Selepas menanggalkan implan, tahap hormon etonogestrel akan menurun secara mendadak dan tidak dapat dikesan selepas seminggu dan sebilangan besar wanita yang mengamalkannya akan mencapai ovulasi dalam masa sebulan selepas menanggalkannya.
Pemasangan Implanon perlu dilakukan oleh doktor yang menjalankan latihan untuk memasangnya. Seramai 3,518 doktor keluarga di Malaysia dan Singapura mempelajari cara pemasangan dan menanggalkan Implanon.
Kebaikan Implanon:
Implanon ialah kaedah kontraseptif yang mudah pulih untuk jangka masa panjang. Ia berbentuk seperti sebatang lidi yang kecil yang boleh dipasang dibawah kulit di bahagian lengan dekat badan anda.
Kesan Implanon Apakah kebaikannya?
•Anda terlindung dari kehamilan selama 3 tahun.
•Pengguna tidak perlu melakukan apa-apa.
•Implanon tidak mengganggu kehidupan seks anda.
•Kesuburan anda kembali dengan cepat selepas Implanon dikeluarkan.
•Cepat dan mudah untuk dipasang dan dikeluarkan
Apakah keburukannya?
Kemungkinan kecil, wanita yang menggunakan Implanon akan mengalami:-
•Waktu pendarahan yang berpanjangan dan yang tidak menentu
•Amenorrhea (tidak datang haid) jika wanita itu memberi susu badan.
Siapa yang sesuai untuk menggunakannya? Wanita yang:
•Mahukan kaedah kontrasepsi mudah, iaitu sekali dipakai tidak lagi memerlukan penjagaan atau tindakan selanjutnya.
•Inginkan alternatif selain pemandulan
•Mahu menjarakkan kelahiran anak
•Ingin menangguhkan kelahiran anak-anak
•Tidak memuaskan atau sudah tidak berpuas hati lagi dengan kaedah kontrasepsi yang digunakan.
•Tidak mempunyai toleransi atau dilarang mengambil estrogen tiruan
•Mahukan kaedah kontrasepsi yang boleh ditoleransi, berkesan dan mengembali ke kehamilan dengan mudah
Siapa yang tidak wajar menggunakan Implanon? Wanita yang:
•Mengalami gangguan tromboembolik yang aktif
•Mempunyai tumor yang memerlukan rawatan progesteron (disahkan atau disyaki)
•Menghidapi atau pernah menghidapi penyakit radang hati yang teruk dan keadaan hati belum pulih seperti normal
•Mempunyai tumor hati yang merbahaya atau tidak merbahayakan
•Disahkan atau disyaki menghidapi barah buah dada
•Disahkan atau disyaki hamil
•Mengalami pendarahan vagina yang tidak dapat didiagnosis
sumber:
http://groups.yahoo.com/group/gurumaz/message/104
Gambar dari Google