Dua orang gila ini, sudah banyak mengajarku tentang hidup


Kita ke syurga bukan sendiri-sendiri.



Malam tadi melayan video demi mencambah senyum dan ketawa. (Sebab itu di FB semalam kukeluarkan video Sesame Street, dan menonton watak Ernie yang paling kusayang).

Begitulah caranya memujuk diri sendiri, demi melupakan betapa sakitnya hati dek ditikam sahabat karib sendiri. Namun, ternyata Maha Benarlah pesanan yang diutus Nabi, bahawa ketawa itu pembunuh hati. Tiada dapat sekelumit hasil dengki dan khianat berambus pergi. Kian melekat, bergayutan di kepala.

Dalam cuba-cuba khusyuk, namun airmata tetap tidak henti melecun pipi. Lalu, malam itu adalah malam terpanjang dalam hidupku. Demi muhasabah yang resah, renung yang dalam, kuselongkar segala hadiah pemberian Tuhan. Kadang-kala, amat kotor dan hina diri ini dirasakan, saat berdoa supaya ditarik segala nikmat ini.

Tuhan, apalah yang ada pada diriku untuk dicemburui. Mohon kau tarik segalanya, andai ia menambah penghuni neraka. Aku rela menjadi orang gila, yang disuap makan minumnya di dunia, yang dijamu Kamu di alam bahagia, kerana berjaya mengheret para waras berbondong-bondong merebut syurga.

Lebih diriku disimbah dosa, saat bercita-cita menjadi gila. Gigil yang tidak berdegil, kian menggegar seluruh anggota. Sendu. Tiba-tiba, terlintas di kepala, alangkah seronoknya menjadi orang yang kurang siuman. Tersiar sebatang demi sebatang sosok sang gila, yang mencanai diriku kebelakangan ini.



***********Orang Gila 1***********

 Di kampungku dulu, ada seorang gila yang kuat berjalan yang jauh. Dari satu pekan ke satu pekan. Dikhabarkan oleh arwah Tok Aki kepadaku, bahawa si dia ini pernah menuntut di luar negara, gila akibat disihir jirannya yang cemburu.

Lama kuperhatikan dia. Wuduknya amat sempurna, tidak setitik terbazir air pili yang ditarik cilik. Solatnya cukup rukun dan ranum, walau tiada satu lafaznya diterima Tuhan. Satu per satu kata-kata Maha Pencipta, diucap dia dengan sebutan sempurna. Lazat.

Hobinya ada dua. Satu, senyum. Dua, berjalan dari pekan ke pekan bagi melawat masjid dan surau. Mungkin dimakbul Dia akan doa ibunya, moga-moga ketidak siuman anaknya itu, mendorong para waras lain sama-sama kmerebut syurga.

Satu hari, tatkala menemani arwah Tok Aki ke kebunnya, demi menengok-nengok ladang diselesai pekerja Indonesia. Sewaktu berbual, azan mengajak kami ke rumah-Nya.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar...”

Mereka bagai si tuli yang bertelinga, dengan parang masih berayun ke sana sini. Tidak mereka sedar nyawanya bila-bila bisa ditarik pergi.

Arwah Tok Aki melangkah beberapa tapak ke arah mereka. Membawa kopiah. Barangkali memberi isyarat supaya berehat ke musolla.

Namun, langkahnya cukup sedepa dua. Terhenti. Sosok sang gila tadi berlarian bahagia, dengan senyum gembira, tangan yang bersepahan terbuai-buai. Melalui lorong ke rumah Dia.

Seorang dari pekerja Tok Aki menghempas parang ke tanah, menjerit,

“SUDDAH... SUDDAH...”

Seorang lagi memandang pada temannya tadi. Dijungkit kepalanya tanda bertanya, kenapa. Dibalas oleh temannya dengan muncung mulut, mengunjuk pada si gila yang berlarian anak.

Tidak semena-mena, bagai ditekan suis, kesemua mereka serentak menyeluk parang pada sarung di pinggang. Ada antara mereka menuju ke motor bersalin pakaian. Ada juga antara mereka mengikat kepala dengan sapu tangan merah yang digelar key, bergaya Awie. Semuanya menuju ke tempat yang satu. Demi kiblat yang dikongsi sejak dulu-dulu.

Sedari itu, waktu kualpakan nikmat Tuhan yang cukup segala, saat kupekakkan telinga pada seru bilal menjemput kita, muncul bayang si gila di depan mata, seolah-olah menampar ke muka.



Tuhan...

Sungguh,

kuidolakan hamba-Mu yang istimewa itu.

Apatah langsung tidak terucap oleh lidahku,

segala pintaku bersalut syahdu,

agar dikurnia ini dan itu.

Kerana...

Betapa malu yang membelenggu.

Cukup kukepinginkan iman sekeras dia,

walau tidak layak kubanding dengannya.



***********Orang Gila 2***********

Asif, bersambung kisah Orang Gila 2 di lain masa.

Terima kasih meluangkan masa, pada tulisan yang tidak seberapa ini. Moga tidak dinikmati sendiri-sendiri.

Kita ke syurga pun bukan sendiri-sendiri.


SUMBER -Orang Gila yang Mendorong Para Waras Merebut Syurga

Oleh: Irfan SangPelangi, SangPelangi.com



Syukran jiddan ..sudi baca entry nie


3 comments

26 September 2012 pada 1:49 PTG

nice story..untuk jadikan iktibar..

26 September 2012 pada 3:40 PTG

Allahuakbar...penuh karamah

26 September 2012 pada 5:30 PTG

SubhanAllah, yg dianggap gila tu juga lah yg mengingatkan kita utk bersyukur dgn nikmat yg ada pada kita sekarang ^^

Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Full Edit By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.