بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Dulu-dulu, seorang guru saya pernah mengisahkan sebuah cerita. Bagi saya, cerita tersebut amat berguna dan pengajarannya sangat jelas. Rupa-rupanya, bukan kami (saya dan kawan-kawan) sahaja yang tahu cerita itu. Malah, kebanyakan rakan saya yang berlainan sekolah pun tahu tentangnya. Ingatkan limited edition. ;)
Kisah tersebut bermula begini..
Dalam satu kelas murid-murid sekolah rendah darjah 6, seorang guru masuk dan semua murid bangun memberikan penghormatan.
“Semua bangun.. Selamat pagi ustazah!” Arah seorang Ketua Darjah diikuti oleh murid-murid yang lain.
“Baik, semua duduk.” Arah guru tersebut, Puan Solehah. Puan Solehah juga dikenali sebagai Ustazah Solehah oleh para pelajarnya. Beliau mengajar subjek Pendidikan Islam. Antara semua guru yang lain, beliau merupakan guru yang paling disayangi oleh murid-murid. Setiap kali waktu beliau mengajar, murid-murid sentiasa ceria kerana cara pendekatan yang digunakan oleh beliau lain daripada yang lain.
“Baiklah murid-murid ustazah yang disayangi. Hari ini kita akan bermain satu permainan,” kata Ustazah Solehah. Mata murid-murid kelihatan berbinar-binar tanda keriangan.
“Semua sudah bersedia?”
“Sudah!” Semua sekali menjawab.
“Baiklah, kita mulakan. Di tangan kanan ustazah ada pen dan di tangan kiri pula ada marker. Setiap kali ustazah angkat tangan kanan sebut ‘pen’ dan setiap kali ustazah angkat tangan kiri sebut ‘marker’. Boleh?”
“Boleh!” Jawab mereka sambil memperbetulkan posisi duduk tanda sedia.
Permainan pun bermula. Ustazah Solehah mengangkat tangannya kiri dan kanan bergilir-gilir dan bingitlah kelas tersebut dengan bunyi ‘pen’ dan ‘marker’. Murid-murid kelihatan yakin sekali dan mereka dapat menyebut dengan baik, serentak, dan tepat.
“Bagus semua! Sekarang kita tukar pula. Setiap kali ustazah angkat tangan kanan yang ada pen sebut ‘marker’ dan setiap kali ustazah angkat marker sebut ‘pen’.”
Murid-murid kelihatan bingung dan risau. Permainan pun diteruskan.
Pada mulanya, mereka menghadapi masalah kerana pertukaran yang dilakukan. Mereka seringkali masih menyebut ‘pen’ untuk pen dan ‘marker’ untuk marker. Lama kelamaan, mereka menjadi terbiasa lantas dapat menyesuaikan diri dengan baik.
“Baiklah, bagus murid-murid. Sekarang ustazah mahu seorang untuk bangun dan menceritakan pengajaran daripada permainan kita tadi.”
Semua terdiam dan tunduk kerana takut dipanggil.
“Ahmad, kamu bangun dan ceritakan.” Tuju Ustazah Solehah kepada salah seorang muridnya.
Ahmad selaku ketua kelas pun bangun dengan bingung untuk memberikan komen.
“Err.. err.. Saya rasa permainan ini menguji otak kiri dan otak kanan lah ustazah..”
Murid-murid yang lain mengangguk tanda setuju dan kagum dengan pendapat yang diberikan.
“Bagus Ahmad, duduk.” Ustazah tersenyum sambil mengalihkan pandangannya kepada semua murid.
“Baiklah, biar ustazah ceritakan dengan jelas. Apa yang Ahmad katakan tadi juga betul tetapi bukan itu sebenarnya yang ingin ustazah gambarkan. Sebenarnya ini berkaitan dengan kehidupan kita sekarang. Ya! Kehidupan umat Islam. Kita tahu yang hak itu adalah hak dan yang batil itu tetap batil. Namun, sekarang kita diajar oleh barat dan sekutunya bahawa yang hak itu adalah batil dan yang batil itu adalah hak. Walaupun kita tidak dapat menerima pada mulanya, lama kelamaan kita akan menjadi terbiasa dan merasakan apa yang mereka hidangkan kepada kita itu betul belaka.” Terang Ustazah Solehah dengan panjang lebar.
Murid-murid mengangguk tanda faham akan penjelasan yang diberikan sekaligus mereka merasa betul apa yang dikatakan oleh Ustazah Solehah.
“Jadi kita harus berpegang teguh kepada kebenaran dan jangan sekali-kali menukarkannya dengan kebatilan...”
Pengajaran: Jangan tertipu dengan propaganda Yahudi dan Barat (serta sekutu-sekutu mereka)!!
--------------------------------