MEMELUK ISLAM KERANA AL-QURAN






TINGGI LAMPAI, berambut perang dengan mata yang hijau, Abdurraheem Green (sebelum ini dikenali sebagai Anthony Green) yang berusia 33 tahun itu kelihatan saling tak tumpah seorang watak filem Hollywood, Ben Hur.


Pemuda bangsa Inggeris yang dilahirkan di Tanzania ini telah memeluk Islam pada tahun 1988. Sejak tarikh itu, dia menjadi seorang pendakwah di Britain.


Cintanya terhadap Islam mula berputik sewaktu di Mesir. Di sinilah dia banyak menghabiskan waktu cutinya. Ikuti cerita pengalamannya sebagai Muslim.


Saya dilahirkan daripada ibu dan bapa yang berbangsa British di Tanzania pada tahun 1964. Saya bersekolah di sebuah Sekolah Agama Roman Katolik yang dipanggil Kolej Ampleforth dan seterusnya melanjutkan pelajaran hingga ke Universiti London dalam bidang sejarah. Walau bagaimanapun, saya tidak menghabiskan pengajian saya itu.


Sekarang saya bekerja dengan sebuah syarikat media Islam yang berpusat di England serta melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti dakwah termasuk memberikan ceramah-ceramah mengenai Islam di Taman Hyde yang cukup terkenal di London.


Saya tidak menghabiskan pengajian di Universiti London kerana begitu keliru dengan sistem pendidikan British. Ia terlalu mengagungkan Eropah dan menggambarkan bahawa tamadun manusia mencapai kegemilangannya yang tertinggi di Eropah.


Pada hal setelah berpeluang tinggal di Mesir dan melihat sendiri kesan peninggalan sejarah yang selalunya hanya ahli-ahli sejarah yang dibenarkan melihatnya, saya dapati telahan atau tafsiran sejarah yang diberikan oleh Barat sangat jauh daripada hakikat sebenarnya.


Saya pun mula mengkaji sejarah bangsa-bangsa lain di seluruh dunia secara sendirian, begitu juga falsafah dan ajaran agama-agama lain di dunia ini. Saya mengamalkan ajaran Buddha selama hampir tiga tahun walaupun tidak pernah menganut agama itu secara rasmi.


Apabila mula mengkaji tentang al-Quran, ia benar-benar ada satu daya tarikan terhadap saya. Mesej atau ayat-ayatnya mempunyai satu tarikan ajaib dan saya menjadi yakin bahawa ayat-ayat al-Quran itu ialah wahyu yang memimpin saya. Saya tidak tahu apa yang menyebabkan saya layak mendapatkan Islam.


Saya mula berasa kurang puas hati dengan agama Kristian sejak berusia lapan tahun lagi. Konsep yang diajarkan kepada kami sejak kecil seperti `Hail Mary!' langsung tidak boleh saya terima. Walaupun mereka, orang Kristian menggambarkan Tuhan sebagai zat yang tidak akan mati, mereka tidak pula merasakan sebarang penyesalan atau kesalahan dengan mengatakan bahawa Tuhan telah dilahirkan dari rahim seorang wanita bernama Mary. Ini membuatkan saya berfikir bahawa tentulah Mary ini lebih hebat daripada Tuhan.


Kedua, konsep triniti agama Kristian membingungkan saya. Konsep ini yang diibaratkan seperti sehelai daun pokok maple Kanada yang bercabang tiga, tetapi hakikatnya ialah satu sahaja. Pada saya, tidak sesuai untuk digunakan sama sekali.


Titik tolaknya bermula apabila seorang rakyat Mesir mula menanyakan soalan-soalan kepada saya. Walaupun saya sendiri agak keliru dengan kepercayaan Kristian, saya tidak mahu mengalah sama sekali.


Begitulah sikap orang Kristian berbangsa Inggeris yang agak hidung tinggi. Saya menjadi semakin keliru lagi apabila hujah-hujahnya membuatkan saya terpaksa menerima bahawa tuhan telah mati disalib.


Ia benar-benar mendedahkan kepincangan ataupun kedangkalan ajaran Kristian tentang sifat tuhan yang infinit dan kekal untuk selama-lamanya. Saya mula sedar bahawa apa yang saya yakini sejak kecil hinggalah dewasa ini, iaitu satu konsep yang tidak munasabah sama sekali, seperti mana tidak munasabahnya dua campur dua itu ialah lima.


Saya selalu tidak dapat menerima kehidupan Barat yang seperti sudah terprogram dan seolah-olah telah ditetapkan. Saya mula bertanya adakah seseorang itu harus hidup hanya untuk memenuhi agenda-agenda yang sudah ditetapkan dengan ketat?


Saya dapati orang Barat terpaksa berhempas pulas untuk menikmati keseronokan dalam hidup. Tidak ada matlamat yang lebih tinggi dalam hidup mereka.


Kemampuan Barat untuk brainwash orang-orangnya menjadi jelas kepada saya apabila saya membincangkan tentang Palestin dengan orang-orang Mesir dan Palestin sendiri.


Beberapa kisah dongeng atau mitos bertema politik, sejarah dan ekonomi telah direka-reka oleh pihak Zionis dan diketengahkan oleh media Barat tanpa mendapat sebarang cabaran atau tentangan.
Bagaimanakah sekeping tanah yang telah ditinggalkan oleh orang Yahudi 2000 tahun dahulu kini menjadi tanah air mereka pula? Saya juga dapat tahu bahawa orang Yahudi yang ada sekarang berasal dari golongan hamba, dan bukan orang Semit.


Bumi Palestin memang sejak dahulu merupakan bumi hijau yang subur. Israel telah mereka-reka kisah dongeng `penukaran gurun kepada sebuah bumi hijau'.


Sikap hipokrit dan bermuka-muka Amerika mula terserlah kepada saya apabila saya mempelajari tentang peranan amerika Syarikat dalam menaikkan dan mengekalkan pemerintah-pemerintah yang zalim di Amerika Latin sewaktu mereka sibuk membelasah blok soviet.


Apakah perbezaan yang dapat kita lihat dalam kehidupan orang Mesir dengan British?


Orang Mesir rata-ratanya hidup miskin, mengalami banyak kesusahan, tetapi mereka gembira. Mereka menyerahkan segala-galanya di tangan Allah dan melupakan segala kesedihan apabila pulang ke rumah.


Sembahyang membantu mereka meletakkan Allah lebih besar daripada masalah-masalah mereka. Saya juga dapat memerhatikan bahawa sembahyang yang dilakukan mereka ini memaparkan sifat rendah diri serta dapat mewujudkan hubungan yang intim dengan Tuhan.


Tetapi di England, saya dapati orang-orangnya begitu kosong dan materialistik. Mereka cuba mendapat kebahagiaan tetapi kebahagiaan mereka hanyalah berbentuk luaran sahaja.


Sembahyang mereka hanya terdiri daripada lagu-lagu, tarian dan bertepuk tangan, tiada sifat rendah diri atau hubungan yang rapat dengan tuhan.


Saya sedar bahawa pendapat popular di Barat sudah sepenuhnya ditawan oleh media yang dikawal oleh pihak Zionis. Persoalan Palestin ialah salah satu daripadanya.


Perbualan saya dengan orang-orang Palestin mendedahkan bagaimana Barat telah mempercayai mitos atau dongengan rekaan Israel. Dongengan yang paling besar sekali ialah orang Yahudi mempunyai hak untuk kembali ke tanah air asal mereka di Israel. Yang kedua, mereka begitu mudah mendakwa diri mereka daripada keturunan Semit, walhal hakikat sebenarnya kebanyakan orang Yahudi di dunia ini adalah bekas hamba abdi yang telah memeluk agama Yahudi.


Yang ketiga, keajaiban ekonomi Israel diteorikan untuk mencipta satu mitos ekonomi dan sains.


Sebelum ini, saya tidak pernah mengetahui pandangan orang Palestin tentang isu ini. Saya kini yakin bahawa orang-orang Barat telah di`brainwash' oleh media Zionis.


Saya dapati bahawa taktik Amerika Syarikat ialah untuk membuat segala helah bagi menghukum negara-negara yang terlibat dalam soal-soal remah berkenaan pencabulan hak asasi manusia di dunia ketiga tetapi mereka sendiri menghantar pasukan maut untuk menjatuhkan pemimpin mereka yang tidak mahu mengikut cara Amerika Syarikat. Sikap hipokrit seperti ini tidak pernah dikritik di dalam media Amerika Syarikat.


Dunia Barat mementingkan hak individu atau keindividuan seseorang. Ini tidak selari dengan Islam. Mana-mana Muslim yang jujur akan rasa terganggu. Dia sering diganggu dengan unsur-unsur seks. Kebanyakan anak gadis hilang kegadisan mereka pada umur 13 tahun dan adalah biasa bagi seorang anak gadis memiliki tiga atau empat teman lelaki.


Dilema yang dihadapi oleh orang Islam di Barat ialah bagaimana untuk benar-benar terlibat dalam sebuah masyarakat yang penuh dengan unsur seks, dadah dan minuman keras. Dan kalau mereka tidak bercampur, bagaimana untuk mengelakkan diri daripada dilabel `orang asing'.


Kerja-kerja dakwah sedang berkembang pada kadar yang agak tetap. Saudara-saudara baru seringkali begitu bersemangat. Mereka tahu betapa gelapnya hidup bagi orang biasa.


kita yang meletakkan sendiri jarak kita dengan Allah.


Syukran jiddan ..sudi baca entry nie


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Full Edit By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.