Bismillah.
Salam dakwah dan tarbiyyah buat semua.
Moga hari ini menjadi hari yang sangat berkat buat anda dan untuk hari-hari yang seterusnya.
************************
Apa perasaan kita bila tengok orang berbaris-baris kalau datang mengepung kita ?
Kalau kita tengok barisan orang berkawad kaki, kita akan rasa kagum.
Kalau kita tengok barisan orang yang mahu pergi berperang, kita akan rasa sangat gerun.
Kalau tengok barisan orang yang tunaikan solat secara berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau, akan terasa sangat hampa. Kerana kebiasaannya orang-orang tua, kalau orang-orang muda, masih boleh dibilang.
**********************
Sekali-kali tidak ! Apabila bumi digoncangkan berturut-turut (berbenturan), dan datanglah Tuhanmu, dan malaikat berbaris-baris, dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu sedarlah manusia, tetapi tidak berguna lagi baginya kesedaran itu.( 89 : 21- 23 )
Di dalam surah Al-Fajr, tafsirnya terbahagi kepada beberapa bahagian. Namun, bahagian yang menceritakan tentang perihal hari kiamat sangat menarik untuk ana ceritakan di sini.
Hati ana cukup tersentuh melihatkan ayat yang menceritakan perihal malaikat yang datang dalam keadaan berbaris-baris.
Kita patut menanamkan rasa segan dan takut untuk berhadapan dengan malaikat kerana merekalah tentera-tentera Allah yang sangat patuh dan taat.
Mereka tidak tidur, dan sentiasa bertasbih kepada-Nya. Jika dibandingkan dengan diri kita yang masih menganggap dunia ini adalah tempat untuk bersuka ria, itu adalah satu tanggapan yang salah.
Melihatkan perkataan malaikat datang dalam keadaan berbaris-baris, cukup untuk membuatkan ana gerun untuk menggambarkan keadaan manusia pada hari kiamat nanti.
Gerun untuk menggambarkan betapa sesaknya Padang Mahsyar nanti dengan berbilion-bilion manusia sejak zaman Nabi Adam A.S dahulu.
Gerun untuk menggambarkan keadaan manusia yang sudah tidak hirau antara satu sama lain, masing-masing yang sibuk dengan diri sendiri.
Gerun untuk membayangkan apakah keadaan diri sendiri, datang dalam keadaan orang yang mulia ataupun sebaliknya.
Gerun untuk membayangkan amalan diri sendiri sewaktu dihisab oleh Allah S.W.T.
Gerun untuk membayangkan segala-galanya !
********************
Penyesalan di sana nanti, sudah tiada gunanya. Menangislah sehingga air mata darah sekalipun, tiada lagi belas kasihan untuk kita. Tidak akan ada peluang untuk kembali ke dunia dengan alasan untuk mengerjakan kebajikan.
Dia berkata, ” Alangkah baiknya sekiranya dahulu aku mengerjakan (kebajikan) untuk hidupku ini.”( 89 : 24 )
Dan dalam Al-Quran ada lagi ayat-ayat dari surah lain menceritakan tentang tiada gunanya penyesalan manusia di akhirat kelak.
Tidak cukupkan ayat Allah untuk membuatkan kita menyesal sekarang ?
Atau kita masih tidak cukup untuk kita meyakini hari kiamat itu bakal terjadi ?
Dia memasukkan siapa pun yang Dia kehendaki ke dalam rahmat-Nya (syurga). Adapun bagi orang-orang zalim disediakan-Nya azab yang pedih.( 77 : 31 )
p/s : tadabbur Al-Qiyamah, nescaya menggerunkan anda !
3 comments
Allahuakbar.. terasa diri yg sangat sedikit amalannya..
gerun
moga ana ..antum.antunna....tak tercampak jauh.. aminn...
:)