UPDATED! Hampir Terjawab : Apa Terjadi Kepada William Yau Zhen Zhong


Apa Terjadi Kepada William?

Adakah kanak-kanak malang, William Yau Zhen Zhong diculik sebelum dibunuh atau dia mati akibat terlibat dalam tragedi?

Itulah persoalan yang berada di fikiran pegawai penyiasat ketika ini berikutan penemuan mayat reput kanak-kanak berusia enam tahun di Kampung Sungai Sireh pada petang Khamis lalu.

Polis sedang giat mencari petunjuk dan memeriksa semula semua maklumat bagi mengetahui punca dia meninggal dunia dan bagaimana tubuhnya boleh dijumpai berhampiran sebuah jeti di Pelabuhan Klang.

Antara teori yang mungkin terjadi ialah badannya dihanyutkan sejauh 30 kilometer (km) ke Sungai Klang dari Kampung Bukit Lanchong selepas terhumban ke dalamnya.

Selain itu terdapat juga spekulasi bahawa kanak-kanak itu mungkin merayau di luar, yang kemudiannya jatuh ke dalam longkang dan seterusnya dihanyutkan ke sungai.

Bagaimanapun tidak terdapat longkang yang tidak bertutup di kawasan beliau dilaporkan hilang dan longkang terdekat jika beliau dihanyutkan ke sungai adalah pada jarak 2km.


“Keputusan post-mortem tidak dapat menentukan punca kematian kerana mayat reput teruk,” kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Ramli.

“Tetapi kita boleh buat kesimpulan bahawa dia mati selama kira-kira seminggu berdasarkan keadaan mayat,” katanya.

ACP Yahaya berkata tiada tanda kecederaan luar kecuali terdapat beberapa tanda gigitan, dipercayai oleh haiwan.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan kes berkenaan adalah perbuatan khianat dan melihat kemungkinan bahawa budak itu telah dibuang ke dalam sungai.

“Tetapi ia masih terlalu awal untuk kita buat kesimpulan apa yang berlaku kepadanya.

“Kami akan menemubual abang budak itu sekali lagi dan merayu saksi yang melihat kejadian itu tampil ke hadapan. Secara ringkas, kita menyiasat semua sudut,” katanya.

ACP Yahaya berkata polis akan membuat pemeriksaan semula di kawasan William dilaporkan hilang di Putra Heights, tebing sungai Klang di Kampung Bukit Lanchong serta jeti di mana mayat ditemui.

Polis juga telah merekodkan kenyataan daripada nelayan yang menemui mayat.

Jarak Longkang Terlalu Jauh Dari Lokasi William Hilang

SUBANG: Walaupun terdapat banyak spekulasi yang mengatakan bahawa William Yau Zhen Zhong jatuh ke dalam longkang apabila dia dilaporkan hilang lebih seminggu lalu, namun hasil pemeriksaan The Star mendapati tiada longkang besar berhampiran kedai elektronik di Putra Heights di mana beliau kali terakhir dilihat.

Dengan hanya dalam jarak 10 minit pemanduan, longkang besar yang paling hampir ialah di Kampung Bukit Lanchong yang tidak jauh dari tebing Sungai Klang.

Jika William berjalan dari Putra Heights, dia pasti akan berhenti beberapa kali sebelum sampai ke kampung berkenaan.

Laluan ke Kampung Bukit Lanchong juga tidak lurus dan boleh mengelirukan kanak-kanak terutama pada waktu malam.






Punca kematian William Yau Zhen Zhong yang mayatnya ditemui terapung di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang kelmarin hampir terjawab selepas polis menemui petunjuk baharu yang boleh dikaitkan dengan kehilangan kanak-kanak berusia enam tahun itu.

Ini berdasarkan penemuan sebuah lubang tidak bertutup di sebatang longkang aliran air hujan atau monsoon drain kira-kira 200 meter dari tempat kanak-kanak itu dilaporkan hilang di Putra Heights, di sini pada 16 Januari lalu.

Arus longkang itu dikatakan mampu menghanyutkan objek berat kurang dari setengah jam sehingga ke Sungai Sireh di Pelabuhan Klang, tanpa sebarang sekatan jika hujan lebat.

Malah difahamkan, dua hari selepas kehilangan William iaitu pada 18 Januari, kawasan Putra Heights dilanda hujan lebat dan longkang itu sememangnya dipenuhi air.

Longkang sepanjang lebih 30 kilometer itu dikatakan terus membawa arus ke Sungai Sireh di Pelabuhan Klang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi tidak menolak kemungkinan kanak-kanak itu terjatuh ke dalam longkang tersebut dan dihanyutkan sehingga mayatnya ditemui terapung di Pelabuhan Klang, kelmarin.

"Polis mengesan satu lubang pada sistem monsoon drain kira-kira 200 meter dari lokasi William hilang. Lubang itu mampu mendatangkan bahaya kepada sesiapa sahaja yang terjatuh.

"Kemungkinan mangsa terjatuh dan dihanyutkan arus sungai tetap ada lebih-lebih lagi dua hari selepas mangsa hilang, Putra Heights dilanda hujan lebat dan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) sendiri mengesahkan jika kanak-kanak terjatuh, ia mampu dihanyutkan dengan laju," katanya.

Beliau sebelum itu melawat lokasi kanak-kanak terbabit hilang di Putra Heights bersama 30 anggota polis dan kakitangan JPS.

Kanak-kanak malang itu hilang selepas keluar mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Rabu lalu.

Kehilangan anak kedua daripada tiga beradik selama sembilan hari itu terjawab apabila ibu bapanya mengesahkan mayat seorang kanak-kanak lelaki yang ditemui di Jeti Sungai Sireh kelmarin adalah William.

Dalam perkembangan sama, Yahaya memberitahu, polis akan mengambil keterangan penduduk di sekitar Putra Heights dan Kampung Bukit Lanchong untuk mengetahui kemungkinan kanak-kanak itu boleh dihanyutkan sehingga ke Jeti Sungai Sireh.

"Faktor terjatuh dalam parit adalah antara yang sedang disiasat polis tetapi perkara ini masih terlalu awal untuk dibuat kesimpulan kerana kami sedang menyiasat melibatkan semua sudut," katanya.

Ditanya sama ada berlaku unsur jenayah dalam tragedi itu, Yahaya berkata, berdasarkan bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu polis tidak menemukan sebarang asas untuk mengaitkan kes ini dengan jenayah kerana tiada kesan kecederaan luaran.




YAHAYA Ramli (kanan) meninjau kawasan longkang monsoon drain di Putra Heights dan Kampung Bukit Lanchong, semalam yang dipercayai menjadi punca kematian William Yau Zhen Zhong dihanyutkan ke Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, Selangor. - IHSAN CHINA PRESS


Kosmo! Ahad difahamkan, dua hari selepas kehilangan kanak-kanak itu iaitu pada 18 Januari lalu, kawasan Putra Heights dilanda hujan lebat.
Pemeriksaan mendapati parit di kawasan tersebut bersambung dengan sebatang longkang di Kampung Bukit Lanchong, sebelum ia bersambung pula dengan Sungai Klang yang mengalir ke Pelabuhan Klang.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, adalah tidak mustahil mangsa terjatuh ke dalam longkang.

Polis ambil keterangan lima individu kes William

MELAKA 30 Jan. - Polis telah mengambil keterangan lima individu semalam termasuk moyang, datuk saudara dan bapa saudara William Yau Zhen Zhong, 6, yang ditemui mati di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang pada Khamis lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan R. Gunarajan berkata, empat pegawai penyiasat masing-masing dua dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Selangor mengambil keterangan itu di rumah moyang mangsa di Batang Melaka, Jasin antara pukul 3.30 petang hingga 7.30 malam tadi.

“Selain moyang, datuk saudara dan bapa saudara mangsa, dua lagi individu yang turut diambil keterangan ialah seorang jiran lelaki yang tinggal berhampiran rumah moyang mangsa serta anak perempuannya.

“Kesemua individu tersebut berusia antara 22 hingga 72 tahun. Dua lagi individu yang akan diambil keterangan ialah nenek dan ibu saudara mangsa dalam tempoh terdekat," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di IPK Melaka hari ini. - sumber


Polis Minta Masyarakat Jangan Spekulasi Kematian William


William Yau Zhen Zhong



Polis meminta masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes kanak-kanak enam tahun William Yau Zhen Zhong, yang telahpun diklasifikasi sebagai kematian mengejut.

“Saya tidak mahu mengulas panjang isu ini kerana semua orang tahu ibu bapa mangsa kini masih bersedih atas kehilangan anak mereka,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar Selasa.

Bagaimanapun, Ismail berkata polis sedia menerima maklumat tambahan berhubung kejadian itu dan akan menjalankan siasatan lanjut.

Anak kedua pasangan Yau Kok Kang, 32, dan Goh Ying Ying, 28, itu dilapor hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya selepas dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.

R.I.P




Syukran jiddan ..sudi baca entry nie


5 comments

30 Januari 2013 pada 5:57 PTG

SIAN KAN..TRAGIS BETUL KEHILANGAN DIA...

BTW..SY TAG SIS SINI..HEHE

http://umikasum.blogspot.com/2013/01/my-blog-giveaway.html

30 Januari 2013 pada 6:24 PTG

thanks atas maklumat ni ye kak . bella pun tgh cari pasal ni gak .

30 Januari 2013 pada 7:31 PTG

sedih sangat..

Tanpa Nama
30 Januari 2013 pada 8:00 PTG

Kesiannya..
Sedih..

30 Januari 2013 pada 11:04 PTG

kesian sgt tgok bdak tu.. da ajal tp apa yg berlaku hanya Allah yang tahu

Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Full Edit By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.