بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
Assalammualaikum.....
Satu mesej simple dari seorang ikhwah yang biasa kita dapat. Membacanya hanya memerlukan waktu dan tenaga yang sangat sedikit. Tetapi, cuba kita lihat pada insan yang mahu membalas mesej tersebut.
"Hmm, nak reply apa ya?"
Mulalah nanti dia scroll semula himpunan mesej-mesej yang pernah dia bagi pada mad'u atau ikhwah lain sama ada sent item, draft atau inbox-nya. Ada yang mula membuka internet untuk cari kata-kata pujangga yang menarik untuk diberikan pada ikhwah yang meminta nasihat tadi. Mulalah membelek-belek buku halaqoh kut-kut ada ayat best atau buka al-Quran terjemahan nak cari ayat yang sesuai dan mengena. Ada juga yang memikir terlalu panjang hinggakan dia tidak reply mesej ikhwah tadi lalu meninggalkan insan yang memerlukan sesuatu untuk mengisi jiwanya terus berada dalam kekosongan.
Sebelum kita membahas dengan lebih jauh, cuba kita tanya dahulu pada diri kita, kenapa seseorang itu meminta dinasihati?
Kenapa? Kalau diri kitalah, kenapa kita minta diri kita dinasihati?
Pertama? Mungkin kerana kita bosan. So, kita pun taiplah ayat tadi tu untuk mengisi waktu lapang, tengok apa yang akan di-reply. Kut-kut ada yang menarik, boleh buat cerpen ke, letak kat status ke, dan lain-lain.
Kedua? Mungkin kerana kita nak menambah ilmu. Manalah tahu nanti ikhwah tu akan reply dengan ayat al-Quran ke, kata-kata Imam Hasan al-Banna ke, boleh jadi modal untuk pengisian dan taujih.
Ketiga? Letaklah sebab anda sendiri. Sebab di sini tiada jawapan yang salah atau betul.
Cuma, satu sebab yang ana rasa paling popular adalah,
Kerana iman kita sedang merundum.
Duk sibuk tengok harga barang naik, yuran naik, minyak konsisten mahal, tol pun sama, tiba-tiba iman kita pula sibuk menurun. Melampau-lampau pula tu kadang-kadang menurunnya. Tambah, keluar result yang juga menurun! Wah~ Sungguh sempurna kombinasinya.
Jadi, apa perlu kita buat?
"Jagalah Allah dengan menjaga keimanan dan ketakwaan kita. Nescaya Allah akan menjaga kita dan keluarga kita."
Jagalah Allah. Maka Allah akan menjaga kita. Jangan sesekali kita merasakan kita tidak layak untuk ditarbiyah lagi apabila iman kita menurun. Kerana, apa bila kita sudah menyatakan ketidaksertaan kita bersama dakwah dan tarbiyah, maknanya kita sudah menghentikan proses menjaga Allah itu sendiri. Kalau kita lihat dalam surah Muhammad, 47 ayat ke-7,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”
[QS Muhammad, 47:7]
Di dalam sebuah hadith Rasulullah SAW,
اْحْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ
"Jagalah Allah, niscaya dia akan menjagamu, Jagalah Allah niscaya Dia akan selalu berada di hadapanmu."
[HR Tirmizi: Hasan shahih]
تَنْصُرُوا. Satu perkataan yang meminta kita menolong dan terus menolong. Menolong apa? تَنْصُرُوا اللَّهَ Menolong Allah. Bagaimana? Tidak boleh tidak, itulah dengan dakwah. Itulah dengan tarbiyah. Jadi, apabila kita merasakan bahawa kita sudah tidak layak bersama dakwah, tidak ikhlas, tidak suci dan lain-lain, kemudiannya kita membuat keputusan untuk meninggalkan usaha-usaha untuk menolong dan menjaga Allah (اْحْفَظِ اللهَ), melupakan masalah ibadah, bahkan kita mula bermaksiat, maka kita telahpun membuat keputusan untuk tidak lagi menerima pertolongan dan penjagaan dari Allah. Jadi, apakah selepas kita keluar dari jalan dakwah dan tarbiyah kita akan menjadi semakin kuat, suci dan ikhlas, ketika Allah tidak lagi bersama kita?
Ada ikhwah mahupun akhwat kita yang memberikan alasan tidak silaturrahim kerana masalah iman. Tidak berukhuwwah kerana masalah emosi. Tidak menulis atau lambat siapkan tugasan kerana alasan tiada motivasi. Pada saya, tidak sepatutnya kita jadi macam itu. Kerana sedar atau tidak, itu semua merupakan suatu maksiat pada diri seorang da'ie. Seorang da'ie tidak berdakwah, itukan maksiat.
Pesan murobbiyah ana,
"Ketika mana iman kita menurun, kita kena pastikan minima kuantiti mutabaah kita tetap sama seperti ketika kita punya iman sedang tinggi. Yang turun mungkin kualiti, tetapi kuantiti jangan sekali."
Kerana, ketika kita merasa lemah, tiada motivasi, dan lain-lain, maka di saat itulah sepatutnya kita semakin menjaga hubungan dan kedekatan kita dengan Allah. Bukannya semasa iman tengah stabil mutabaah semua full. Saat down je, habis semua binary code. Lebih teruk daripada orang yang tidak ikut halaqoh. Jangan! Belajarlah untuk memastikan kuantitinya tetap sama, atau sepatutnya semakin tinggi! Itulah orang yang ditarbiyah. Seperti Nabi Ayub, diuji oleh Allah hinggakan yang mampu bergerak cuma mata. Keluarga, anak, harta, kesihatan semua ditarik oleh Allah! Tapi apa doa dia pada Allah?
"Ya Allah, kau ambillah semua yang Engkau mahu daripada aku, tetapi janganlah Engkau ambil hatiku agar aku dapat sentiasa mengingat Engkau."
Kita macam mana? Agak-agak, berdoa pun kita lupa sedangkan doa itu juga ibadah.
Conclusionye..
Jadi, ayuh. Jangan kita rasa lemah. Jangan kita rasa sedih hati. Kalau kita adalah orang-orang yang menjaga keimanannya, ketakwaannya serta menjaga Allah bahkan menolong Allah itu sendiri, maka kita adalah orang yang terhebat! Maka keluarlah sebagai insan yang hebat.
Hanya syaitan sahaja yang suka melihat kita melemah. Ketika kita meninggalkan kerja dakwah, yang bergembira hanyalah syaitan dan rakan-rakannya. Takkanlah Allah, malaikat, dan Rasul-Nya gembira dengan benda tu, tak logik. Jadi, jangan kalah dengan syaitan. Ikhlaskan niat kita, kerana syaitan akan kalah dengan orang-orang yang ikhlas. Ikhlas dalam berislam. Ikhlas dalam beriman. Ikhlas dalam bertakwa. Dan ikhlas dalam menjaga dan menolong Allah.
“Dan (Iblis) berkata, “Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba-Mu yang terpilih (الْمُخْلَصِينَ) di antara mereka.”
[QS al-Hijr, 15:39-40]