Gua Bukanlah Pelajar Pintar...



"Wahai anak-anakku! Pergilah kamu, carilah (berita) tentang Yusuf dan saudaranya dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah, hanyalah orang-orang kafir". 
[QS Yusuf, 12:87] 


***
"Macam mana tadi? Boleh jawab?" 


"Hmm.. Kecewa.." 


"Kenapa?" 


ada org slalu bungkus laptop mereka, bagus itu org.
ada org slalu duk library, dari library bukak sampai tutup.
ada org mmg fokus, nk jd mcm ni susah.
but then, ada org mmg bijak walaupon study sket, itu kurniaan.
ada org study punya study, fail
ada org study relax, result cukup2 makan.
ada org study gempak, result terbaik.

"Entahlah. Ana dah study gila-gila dah, tapi still masih stuck. Tak tahu nak cakap apa."


***

Musim Ujian


Ujian merupakan satu fenomena yang normal dalam satu proses yang dinamakan sebagai kehidupan. Setiap orang pasti akan merasakannya. Baik mu'min, muslim, kafir, musyrik dan sebagainya. Ujian terbahagi kepada dua, iaitu ujian dalam bentuk kesenangan mahupun ujian dalam bentuk kesusahan. Cuma, pada kebiasaannya, manusia akan lebih mudah untuk melabel sesuatu perkara itu sebagai suatu ujian, apabila mereka berada dalam keadaan yang sulit. Atau dengan kata mudahnya, keadaan yang sulit itu adalah ujian.


Mari kita lihat satu contoh mudah, ketika tiba minggu test atau peperiksaan. Maka tatkala itulah bumi ini terasa sempit oleh mereka yang bakal berhadapan dengannya. Kita dapat lihat di surau-surau atau masjid-masjid baik di sekolah mahupun IPT mula dipenuhi oleh pelbagai manusia yang mahu mendekatkan diri mereka kepada Allah.


Alhamdulillah kerana masih ada rasa di dalam diri mereka itu yang bahawasanya mereka itu sebenarnya mempunyai tuhan, jika mahu dibandingkan dengan mereka yang terus tidak ingat langsung akan keberadaan Tuhan yang telah meminjamkan dia segala nikmat untuk kemudahan dia, maka mereka lebih baik walaupun tidak seperti yang sepatutnya.


Cuma apa yang jadi masalahnya, benda ini seakan-akan telah menjadi satu fenomena yang mungkin boleh digelar

Musim Bertuhan

Cuba kita imbau masa lampau kita di sekolah dulu, atau mungkin bagi yang sedang bersekolah, maka lihatlah sendiri real case yang bakal berlaku kelak.


Di IPT pun kadang-kadang berlaku fenomena ini.


Ketika tiba saat-saat menghampiri minggu PMR atau SPM atau final exam. Maka kita akan melihat satu suasana di mana, begitu ramai pelajar yang turun ke surau ataupun masjid. Baca al-Qur'an, tahajjud, belajar dan tidur di surau ataupun masjid. Sungguh sangat mengagumkan hingga terkadang terdetik di dalam hati kita, 'Inilah peribadi-peribadi yang akan menggemilangkan Islam suatu masa nanti'


Tetapi, cukup hanya sehari selepas peperiksaan, maka kita akan lihat surau atau masjid yang dahulunya hidup dengan sangat meriahnya, menjadi seolah-olah mati. Maaf, tetapi itulah kenyataannya.


"Dan apabila manusia ditimpa kesusahan, dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring atau duduk ataupun berdiri; tetapi setelah Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon untuk (meghilangkan) bahaya yang telah menimpanya; demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan. " 
[QS Yunus, 10:12]

Cuba refleks ke dalam diri kita, adakah kita seperti mereka yang dimaksudkan Allah dalam ayat di atas?


Jika ya, maka kita adalah insan-insan yang telah melampaui batas. Kerana bertuhankan Allah hanya ketika susah, tetapi bertuhankan nafsu ketika masa senang. Maka kembalilah kepada Allah dengan taubat.


"Dia lah yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan, (dan berlayar) di lautan; sehingga ketika kamu berada di dalam bahtera, dan meluncurlah (bahtera) itu membawa mereka (penumpang-penumpangnya) dengan tiupan angin yang baik, dan mereka bergembira kerananya; tiba-tiba datanglah badai dan gelombang menimpanya dari segenap penjuru, dan mereka mengira telah terkepung (bahaya); maka mereka berdoa dengan tulus ikhlas kepada Allah semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Sekiranya Engkau (Ya Allah) menyelamatkan kami dari (bahaya) ini, pasti kami menjadii orang-orang yang bersyukur". 


Tetapi ketika Allah menyelamatkan mereka, malah mereka berbuat kezaliman di bumi tanpa (alasan) benar. “Wahai manusia! Sesungguhnya kezalimanmu bahayanya akan menimpa dirimu sendiri; itu hanya kenikmatan hidup duniawi, selanjutnya kepada Kamilah kembalimu, kelak akan kami khabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan” 
[QS Yunus, 10:22-23]



Musim Sejarah


Mari kita lihat kembali kepada sirah yang menceritakan tentang ujian yang diungkapkan oleh Allah di dalam surat cinta-Nya kepada mereka yang ingin membacanya,


"Ataukah kamu mengira kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan diguncang (dengan pelbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat." 
[QS al-Baqarah, 2:214]



Kita kadang-kadang merasa bahawa sedikit kesusahan dan keperitan kita di dunia ini telah membuatkan kita merasa ingin membunuh diri, memaki hamun sesiapa sahaja, buat perkara-perkara maksiat yang kononnya akan mendatangkan ketenangan dan macam-macam lagi.


Tetapi hakikatnya, cuba kita lihat dalam firman di atas.


Ujian serta cubaan yang ditimpa oleh mereka jika mahu dibandingkan dengan apa yang kita ada pada hari ini, nescaya sangat-sangat berbeza.



Kita kadang-kadang tidak adapun ujian seperti perlu melihat keluarga kita dibunuh di hadapan mata kita sendiri seperti Ammar bin Yasir. Menghadapi peperangan dengan kelengkapan yang sangat tidak lengkap, bahkan terpaksa menghadapi ayah sendiri seperti mana Abu Ubaidah al-Jarrah yang bertempur dengan ayahnya sendiri ketika di Badar. Dijemur tengah panas seperti Bilal.


Tidak wahai saudaraku.


Kita hanya diuji dengan dua nikmat yang sememangnya sangat bernilai bagi mereka yang kehilangannya, iaitu;


Ibnu Abbas r.a. berkata bahwa Rasulullah saw. bersabda, 


"Ada dua macam nikmat yang banyak dilupakan manusia, yaitu nikmat kesihatan dan kesempatan (masa lapang)." 
[HR Bukhari]


Musim Sihat


Ke mana kita habiskan kesihatan kita selama ini?


Cuba kita timbangi sendiri amal-amal perbuatan kita. Antara amalan yang membawa ke surga dengan amalan yang menjurus ke arah neraka, yang mana lebih dominan?


Seandainya amalan ke neraka, maka apakah kita masih mahu menggunakan nikmat sihat ini untuk benda-benda yang kecil-kecil bahkan sia-sia?


Games, movies, couple, tengok bola sampai jam 6 pagi lepas itu tidak ke kuliah.


Janganlah tunggu masa sakit baru kita nak terngadah seperti perangai manusia zalim dalam surah Yunus di atas.


Jaga hubungan kita dengan Allah di masa kita masih sihat. Jaga hubungan kita dengan manusia ketika kita masih sihat. Dan jaga akademik kita ketika kita masih sihat.


Kerana ketika kita sakit, kita tidak akan mempunyai kekuatan yang secukupnya untuk berbuat yang terbaik baik dari segi kedekatan dengan Allah, mahupun dunia.




Musim Masa Lapang


Dialog bersama seorang teman di hadapan Pocket C menuju ke parkir motor.
"Bro, masa nak dekat exam ni lah kita rasa macam semua benda berat nak buat kan?" 


"Betul." 
"Bila nak dekat exam, kita mula cuak dengan persiapan kita, bila habis exam nanti baru nak menyesal dan perbaiki diri. Cuma bertuah lah kita, sebab ujian kat dunia ni kita boleh menyesalinya dan memperbaikinya kalau kita nak. Ulang balik dari mula kononnya. Tetapi, kalau ujian kematian? Boleh kita menyesalinya dan memperbaikinya dengan hidup balik ke dunia?"
Maka, manfaatkanlah masa yang ada. Jangan bertangguh-tangguh lagi.

Jikalau kita mahukan dunia, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh. Jika kita mahukan akhirat, kita juga perlu bersungguh-sungguh. Jika kita mahukan kedua-duanya, maka kita perlu lebih bersungguh-sungguh.


Musim Memperbaiki Diri


Fokuskan dirimu ke arah perubahan.


Ubah mindset kita.


Sesungguhnya Allah hanya bertindak setelah kita bertindak.


"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. " 
[QS Muhammad, 47:7]


Allah akan menolong kita, jika kita yang menolong Allah dahulu. Sama konsepnya, Allah akan memberikan kita kejayaan, seandainya kita berusaha ke arah itu dahulu.


"Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya" 
[QS an-Najm, 53:39]


1- Perbaiki hubungan kita dengan Allah


Jika kita gagal. Jadikan ianya motivasi untuk kita lebih dekat dengan Allah kerana kegagalan itu mungkin sahaja hanya satu peringatan kecil untuk kita agar kita kembali sedar akan hakikat pergambaan kita kepada Allah. Jika generasi awal-awal islam dahulu mampu membuktikan kejayaan mereka dengan berpaksikan keimanan. Maka kenapa tidak kita?


Jaga bacaan al-Qur’an kita, kualiti tahajjud kita, solat dhuha kita, zikir dan taubat kita kepada Allah. Komitmen terhadap halaqoh, program, ziarah dan lain-lain. Tetapi, tidak sekali-kali kita lupa akan tanggungjawab kita dalam akademik.

2- Perancangan yang mantap


Kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun. Maka merancanglah. Susun waktu kita, kurangkan aktiviti-aktiviti yang boleh mendatangkan kerugian kepada kita.


“Wahai orang-orang beriman. Bertakwalah kepada allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan” 
[QS al-Hasyr, 59:18]


Kita perlu merancang. Merancang untuk akhirat kita. Dan bagaimana hendak merancang ke akhirat. Maka di dunia inilah tempat kita merancang, dan berbuat untuk apa yang kita rancangkan, kerana di akhirat itu nanti hanyalah tempat penuaian ‘hasil’ apa yang telah kita rancang dan berbuat di dunia. Cukuplah kita gagal sekali, jangan jadikan ianya habit untuk kita mengulangnya semula.

3- Sabar

“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” 
[QS al-Baqarah, 2:155]


Dan..


“Wahai orang-orang yang beriman. Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh Allah beserta orang-orang yang sabar” 
[QS al-Baqarah, 2:153]


Hayati ujian itu..


Tempuhi ujian itu..


Nikmati ujian itu..


Kerana ujian itu..


Datangnya dari Dzat yang Mengasihi kita..


"Wahai anak-anakku! Pergilah kamu, carilah (berita) tentang Yusuf dan saudaranya dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah, hanyalah orang-orang kafir". 
[QS Yusuf, 12:87] 

PUTUS ASA? TIDAK! KERANA ITU SIFAT SI KAFIR!






Syukran jiddan ..sudi baca entry nie


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Full Edit By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.