Ke arah mana halanya
Bagi insan yang terleka
Mengejar nikmat dunia
Bagaikan hidup selamanya
Tak peduli dosa noda
Seksa azab neraka
Hidup jauh dari rahmatNya
Terpedaya pada dunia
Pentas ciptaan manusia
Terlupa pada segala
Mengikut nafsu semata
Membiar syaitan beraja
Di hati dan juga jiwa
Mengejar dunia penuh debu dosa
Teguhkanlah iman dalam diri
Moga dikau akan merasai
Betapa indah nikmat Ilahi
Dan yakin kau akan dirahmati
Harus kau percaya dengan pasti
Dunia tidak kekal abadi
Hanya menguji cekalnya hati
Sebagai khalifah yang sejati
Tak perlu kau meragui
Andai teguh keimananmu
Pasti bahagia menanti
Di akhirat yang abadi
Luah segalanya pada Ilahi.
*****
Bengkak mata. Menangisi kekesalan diri. Allah jadi saksi. Tangisan yang penuh erti. Sukar Ya Allah, untuk aku gapai solehah.‘Gapai status solehah..’
Bukan satu benda yang mudah. Keteguhan hati dan kesucian jiwa amat dituntut.
Aku keji.
Aku hina.
Layakkah aku?
Gapai status solehah?
Hati meronta. Mata menangisi sebuah keinsafan dan kekesalan. Seorang wanita solehah tidak mempermainkan hati lelaki dan tidak dipermainkan oleh lelaki. Seorang wanita solehah tidak menonjol di hadapan manusia dengan rasa gah dan megah, malah tertunduk malu, mengakui kejahilan diri.
' Pain make people change '
Ya. Kata-kata yang cukup pendek lagi padat. Menyentak ruang hati. Kesakitan membuatkan manusia itu berubah. Benar. Bila kita berada di kedudukan yang amat selesa, kita lupa dan alpa. Kita merasakan diri kita sudah cukup dan serba hebat.
“..Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, niscaya hilanglah siapa yang kamu seru kecuali Dia, Maka tatkala Dia menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling. Dan manusia itu adalah selalu tidak berterima kasih…”
~al isra : 67~
Apabila Allah uji dengan kesakitan. Kesusahan. Baru hati merintih. Memohon kepadanya. Barulah terasa ingin melakukan perubahan dalam diri. Benarlah, manusia itu sering tidak pernah bersyukur. Malah terlalu bongkak.
Andai aku bongkak?
Andai aku sombong?
Itu bukan status solehah.
Gadisku,
Secebis peringatan aku coretkan buat dirimu dan diriku. Status solehah bukanlah satu benda yang semudah bicara tetapi.. status solehah memerlukan satu usaha yang gigih. Usaha yang tulus dari hatimu gadisku.
Kita adalah modul seorang muslimah sejati. Kita mahu gapai status solehah itu. Banyak yang perlu engkau dan aku perbaiki gadisku. Kita tidak boleh kalah dengan nafsu dunia. Kita tidak boleh menyerah , kerana kita susuk tubuh wanita solehah.
Kekadang aku menangisi kejahilan diri. Aku bertudung labuh. Aku berpurdah. Namun, aku rasakan aku hina dan jijik. Aku tidak layak digelar solehah. Aku tidak istiqamah dengan ibadah pada Ilahi. Aku tidak pernah mensyukuri nikmat kesihatan yang Allah beri. Aku gagal dalam mencintai Allah sepenuh hati.
Aku gagal gadisku. Lantas aku tidak mahu kalian juga begitu. Aku ingin bersama kalian menggapai status solehah. Status yang terindah lagi terpuji. Susuk tubuh yang indah gadisku.
Mari bersamaku. Kita bersatu hati. Mencintai Allah dan Rasulullah. Amalkan doa di atas supaya hati kita teguh dalam mencintai Allah. Lupakan cinta dunia yang melalaikan. Berhenti dari mempermainkan hati lelaki. Berhenti dari menyintai insan yang tidak selayaknya.
Kerana Allah,
Lebih layak kita cintai.
Aku pernah jatuh cinta. Itu fitrah. Aku tahu kamu juga pernah jatuh cinta, gadisku. Itu lumrah dan fitrah. Cinta tidak dilunaskan pada jalan yang selayaknya hanyalah cinta yang hina dan keji.
Kita menyalahi erti cinta dalam Islam yang sebenar. Kita zalim kerana tidak meletakkan cinta pada yang selayaknya.
Malulah pada diri. Permainkan hati lelaki di laman sosial adalah satu perkara yang keji. Membiarkan diri dipermainkan oleh seorang lelaki adalah satu benda yang memalukan.
Kita gadis. Kita wanita. Ciptaan terindah yang Allah ciptakan. Kenapa kita biarkan mereka permainkan hati kita? Kita biarkan mereka mencintai kita pada jalan yang haram? Bukankah masih banyak jalan halal terbentang luas?
Dirimu hak mutlak Allah.
Dirimu pinjaman buat bakal suamimu.
Bantu diri kamu. Bawa diri kamu menuju status solehah. Rahmat Allah itu Maha Luas. Luah kepada-Nya isi hatimu. Dia sangat memahamimu, kerana Dia yang menciptakanmu, sudah pasti Dia tahu apa penyelesaian terbaik buat dirimu gadisku.
Setiap tinta dan pena yang aku coretkan, hanya untuk mu dan diriku. Aku tidak menulis untuk mendapat pujian. Tetapi aku menulis sebagai rasa tanggungjawab seorang yang daie dan sebagai seorang makhluk Allah yang ingin membawa kamu dan aku untuk gapai status soleh dan solehah.
Mahukah kamu bersamaku? Kita gapai status solehah?