Kenangan manis mahu pun sejarah hitam begitu asyik berputar menenggelamkan prinsip "bercinta selepas nikah". Bukan mudah diusir. Bukan mudah melupakan. Hanya Allah yang Maha Tahu betapa sengsara dan laranya hati menanggung seksa keseorangan.
Buat mereka yang pernah bercinta dan mahu berubah, kembali kepada yang lebih berhak, TAHNIAH!
Buat mereka yang sedang derita dan bermuhajadah dalam kecelaruan cintanya, TAHNIAH!
Buat mereka yang tidak putus asa berusaha untuk mencari cinta Tuhan semula, TAHNIAH!
Buat mereka yang terseksa dengan amukan nafsu cinta remaja dan kini sedang mengubatinya, TAHNIAH!
TAHNIAH dan pujilah diri!
Itu adalah satu kebanggaan! Satu kehormatan yang tertinggi daripada mereka yang tidak pernah bercinta. Untungnya mereka ini, pernah merasa syoknya bercinta dan deritanya bercinta. Mujahadah yang paling besar buat seorang hamba adalah melawan nafsunya sendiri!
Kita baru kembali dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar. Sahabat terkejut dan bertanya, "Peperangan apakah itu wahai Rasulullah?". Baginda berkata, "Peperangan melawan hawa nafsu." (Riwayat Al Baihaqi)
Walaupun status hadis ini adalah hadis dhaif, namun apa yang boleh diiktibarkan, bahawa jihad dalam konteks islam bukan semata-mata jihad mengangkat senjata, mahu pun jihad menuntut ilmu, malah meliputi jihad menentang hawa nafsu sendiri. Betapa pentingnya kita memahami konteks jihad secara syumuliah (keseluruhan) agar sisi pandang kita terhadap keindahan agama Islam bertambah sempurna. Ia berhasil ke arah kemantapan iman dan kedewasaan pemikiran seseorang hamba dalam menjiwai agamanya.
Dalam sebuah hadis bertaraf hasan, Nabi SAW bersabda: "Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah."
Dalam Ihya Ulumuddin, Imam Al-Ghazali juga ada menyatakan :
"Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin. Oleh itu seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah. Dia tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang maksiat."
Berhubung dengan ini Abdullah ibn Mubarak berkata : "Jika cintamu benar, kamu akan mentaatiNya kerana seseorang yang mencintai sesuatu sanggup mentaati sesuatu."
PUJUKLAH DIRI, LEPASKAN DIA PERGI
Hasil didikan (tarbiyyah) cinta dusta mengajar kita untuk tidak berpaling ke lembah hina itu lagi. "Putus cinta dan mahu bercinta kembali" perlu dibuang jauh-jauh. Nyahkan dari otak! Hapuskan dari hati!
Lihatlah wahai hamba kesayangan Allah, Allah mahu ajar kita, mahu didik kita, mahu tarbiyyah diri kita, betapa cinta sebelum nikah adalah hina. Mudahnya diri terperangkap dalam noda dan dosa. Asmara itu tidak bernafsu ketika akad. Kerana kesuciannya telah dibunuh hidup-hidup oleh kata-kata manis sang jejaka.
Ya! Mungkin kita cair dengan pujukan dan keindahan rupa si dia, tetapi itu tidak menjanjikan kebahagiaan selamanya yang kita cari. Hati kita sebenarnya tidak puas! Tidak puas menagih cinta dan kasih sayang manusia.
Cubalah renungkan kembali. Air mata kita begitu murah hanya kerana cinta manusia! Lemahnya diri tertawan dengan janji-janji si mulut manis. Tubuh badan diratah, maruah tergadai dan akhirnya kita ditinggalkan dengan bodoh sekali apabila sudah muak dan bosan. Andai itu tidak terjadi, bersyukurlah. Tetapi jika sebaliknya, bagaimana?
Manusia memuja muji kekasih kerana tidak kenal Allah. Mereka keliru cinta mana yang harus dipuja. Justeru, tatkala iman dan kepercayaan tidak utuh, seorang hamba akan dikepung syahwat dari seluruh arah, dikelilingi sifat keliru dari semua penjuru, semua itu akibat dari kelemahan ilmu dan ketumpulan mata hati. Maka yang yang dituntut ialah penyesalan. Sesallah sekarang sebelum kita disesalkan kelak.
Oleh itu, siapkanlah jiwamu untuk dicuci, pujuklah diri dengan mendekatkan diri kepada Allah dan orang-orang soleh, pupuklah diri dengan tarbiyyah yang betul, kekanglah dari segala kehendak dan alat yang boleh menjerumuskan diri ke lembah terkotor itu lagi.
Jika Facebook menjadi punca luka berdarah kembali, block/deletekan sahaja dia daripada akaun kehidupanmu! Tukarlah nama atau profile yang baru.
Jika handphone menjadi punca kegersangan cinta, tukar sahaja nombor yang baru tanpa berfikir dua kali! Lemparkan sahaja semua gambar dan kenangan bersamanya di dalam longkang najis! Bukanlah membenci, tetapi tegas dalam prinsip!!!
Jika dirinya hadir melintasi kepala otak, ambillah sejadah, rendahkan dahi menyembah bumi, ciumlah haruman syurga segar mewangi sedang menanti doa-doamu sebagai tetamunya. Allah SWT, Tuhan kita yang telah lama dipinggarkan juga tidak putus menunggu air mata untukNya. Ketagih berbicara dengan hambaNya dengan taubat dan penyesalan yang mendalam.
Hakikatnya, kata-kata penulis tidaklah sehebat mana jika dibandingkan ayat-ayat cinta dari langit. Tentu sahaja semangatnya tidak konsisten dan tidak begitu mendamaikan hati yang sedang lara dan keliru. Pujuklah diri, renungkan dalam-dalam dan ajarlah hati untuk menjiwai setiap bait kata-kata Allah ini.
Firman Allah SWT : "Sesungguhnya beruntung orang-orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang MENJAUHKAN DIRI dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna, dan orang yang menunaikan zakat, dan orang yang MEMELIHARA KEMALUANNYA kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Tetapi sesiapa yang DICARI BALIK itu (zina dan sebagainya) maka mereka itulah orang-orang yang MELAMPUI BATAS. Dan (sungguh beruntung) orang yang memelihara amanat-amanat dan janjinya, serta orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi (yakni) yang akan mewarisi (SYURGA) FIRDAUS. Mereka KEKAL didalamnya." (Surah al-Mukminun ayat 1-11)
Bukankah itu lebih mengghairahkan?
5 comments
Sebolehnya mahu terbang ke Pluto memanggil Alien, dan berkata "Perit sungguh bercinta". Lalu Alien berkata, "Tabahkanlah hatimu, wahai manusia, sepahit hempedu, namun bila digoreng, makan juga akhirnya"..... kah kah kah!
@Sopok tak makan hempedu. :D
Terima kasih! :)
Good words... Teruskn mendidik hati, melawan nafsu, menjaga diri, moga Allah pelihara kita
Sukaa bace entry nie ^_^