Innallaha 'ala kulli sayi in qodiir.. Duhai hati..bersabarlah,Allah sedang mengujiku.....




Bismillahirahmanirrahim...
Memulakan tarian pena dengan limpahan syukur atas segala yang telah dikurniakan sepanjang melangkah ini. Pesanan ini khas buat diriku yang sering terlupa, dan istimewa buat semua yang ku cinta. Moga kalian dalam jagaan Allah sentiasa. 

 Sepanjang perjalanan ini,
Menyusun derap langkah menuju ke sana,
Seringkali aku tersasar,
Kerap juga aku hampir tersungkur,
Malah selalu juga terjatuh,
Namun sebelum sempat ku terus rebah,
Kasih Allah terlebih dulu memelukku erat,
Membawaku rapat dalam dakapan-Nya,
Sejuk ku rasakan dalam jiwa dengan kasih-Nya…

Semakin ku menginjak dewasa,
Semakin ku mengerti tentang realiti kehidupan,
Inilah jalanku,
Jalan hidupku yang masih belum ku tahu penghujungnya,
Indahnya dunia mampu bertahan berapa lama?
Ku diam sendiri,
Ku mula menyedari,
Perjalanan di hadapan pasti bukanlah mudah,
Harus punya rintangan yang bakal mendatang,
Menguji kentalnya jiwa,
Dan kuatnya iman..

Bila sesekali hati diuji dengan kesedihan,
Ku pujuk jua hati,
Ini pentarbiyahan jiwa,
Harus bersedia menerimanya,
Lihatlah dari sudut hikmah dan dakwah,
Di situ pasti kau temui,
Kalungan ibrah dan hikmah,
Yang akan membawa dan mendidik hatimu,
Agar lebih sabar dan redha,
Kerana kau harus tahu dan fahami,
Kalau perjuangan mendidik diri, hati dan jiwa ini,
Bukanlah semudah menyebut ABC,
Mahupun sekadar membilang 123…

Puas ku pujuk hati,
Reda kembali segala rasa,
Ku diam dan terus berfikir,
Hatiku masih perlukan pentarbiyahan,
Masih butuh sokongan, doa dan nasihat,
Kerana adakalanya,
Bila ku sedar perjalananku kian jauh di hadapan,
Dan ujian yang datang silih berganti,
Ku fahami kalau jiwa + hati ini,
Mudah benar rapuh,
Sehingga adakala terasa ingin rebah selamanya..

Mu’min yang kuat lebih disayangi Allah berbanding mu’min yang lemah”..
Hatiku sedikit tersentak,
Ku seperti baru terjaga dari lena yang panjang,
Aduhai hati,
Mengapa aku harus berasa lemah jika janji Allah,
Syurga buat yang sabar?
Mengapa aku harus hilang semangat jika janji Allah,
Ditinggikan darjat mereka yang beriman?
Yakin dengan Allah kan? 


Alhamdulillah,
Ku salurkan semangat baru,
Dan ku bisikkan untaian kata-kata beru buat hati, jiwa dan imanku..
Kau ta lemah, malah kau sebenarnya kuat dan hebat. Kau sedang diuji dengan ujian yang sekecil ini, masakan begitu mudah kau mahu menyerah kalah? Ini namanya mujahadah, inilah dia perjuangan mencari apa yang kau mahu. Masih mahu mengaku kalah? Janji Allah, Dia akan bersamamu sepanjang perjalanan ini kan? Kau fikir Dia memungkiri janji-Nya? Itu mustahil kan?
Jadi, dengarkan ini duhai hati,
Kuatkanlah kembali pergantungan-Mu pada Allah, kerana di situ sumber kekuatan dan ketenangan. Penuhi hatimu dengan cinta kepada-Nya, nescaya nanti kau akan merasa sendiri hangat-Nya dakapan Rabb, dan luasnya lautan cinta Ilahi buatmu, dalam darah, nafas dan ruh yang ada padamu sayangku,”.

~ Carilah apa yang kamu mahu dengan patuh kepada-Nya, serta kuatnya pergantunganmu pada-Nya.
Dia pasti akan terus, selalu dan sentiasa di sisimu, menggenggam erat tanganmu, hingga saatnya nanti,
Kau dibawa dan berpeluang melihat keindahan-Nya...~



Syukran jiddan ..sudi baca entry nie


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Full Edit By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.