"tak mau payung emas ke nanti? ", tanya sang suami.
"berapa payung mas nak bagi tahu saja.." gurau sang suami, tapi sangat serius pula untuk sang isteri.
"pada abang, sayang adalah isteri yang paling solehah dan terbaik! Tapi lagi solehah kalau sayang benarkan abang kawin lagi satu..he he",seorang suami mengusik isterinya. Isteri yang pada awalnya tersenyum, menarik muka.
"haih..macam mana ni nak jadi isteri solehah ni..sebut poligami je, mesti muncung..".
.............
Apabila menulis berkenaan 'Wanita dan Islam', ada beberapa pembaca melabelkan saya sebagai seorang 'ustazah' yang menolak hukum poligami dan berbahaya jika berjaya mempengaruhi masyarakat.
Lucu.
Saya tidak pernah menolak hukum poligami. Serius. Kerana hukum itu tercatat dalam alQur'an yang menjadi sebahagian dari kata-kata Allah.
Saya menerimanya.
Tetapi yang cuba untuk diketengahkan ialah menghapuskan doktrin poligami yang mewarnai masyarakat Islam.
Penerimaan Poligami Mengangkat Isteri Solehah.
Selalu slogan ini dimainkan oleh beberapa pihak terutama para suami untuk mentarbiyah isteri-isteri mereka agar memudahkan lagi proses poligami yang menjadi idaman.
Tidak salah.
Benar tidak salah.
Cuma, saya ingin menyoal, jika dalam keperibadian ciri-ciri seorang mujahid yang turun ke medan syahid itu, kita memperbesar-besarkan sifat 'tidak memakan khinzir', apakah ciri tersebut salah?
Contoh apabila menyampaikan pengisian, seorang ulama' memberi pesan kepada seluruh kaum muslimiin yang mahu turun ke medan jihad,
"Wahai para mujahidiin, antara ciri-ciri seorang mujahid yang soleh ialah mereka yang tidak memakan khinzir.."
Tidak salah, bukan?
Tetapi ada kepincangan di situ. Mengapa perlu diperbesar-besarkan satu ciri dari jutaan ciri-ciri yang lebih besar dan lebih dekat dengan diri seperti ikhlas, sabar, bersungguh dan sebagainya?
Begitu jugalah dengan penerimaan poligami. Mengapa isu itu yang sangat ditekankan dalam masyarakat kita?
Mengapa tidak ditekankan berkenaan ciri seorang isteri yang solehah itu adalah mereka yang bertaqwa kepada Allah, yang berusaha membahagiakan dan memenuhi kebajikan suami secara maksima, yang bersungguh menjadi pendidik mithali buat anak-anak, yang menjaga rahsia rumahtangga dan sebagainya?
Apatah lagi dengan melabel isteri solehah adalah yang membenarkan suami berkahwin lain, bermakna, jika mereka yang rasa berat dan tidak sanggup dimadukan kerana takut tidak mampu menjadi isteri yang taat itu adalah isteri yang tidak solehah?
Baik. Jika begitu, bagaimana pula jika diletakkan ciri lelaki yang soleh itu adalah yang penuh solat 5 waktunya setiap hari tanpa pernah tertinggal sekalipun berjemaah di masjid. Agak-agak berapa keratlah yang benar-benar soleh dari jutaan lelaki muslim di seluruh dunia, bukan?
Hukum Asal Perkahwinan Dalam Islam Adalah Satu.
Banyak orang menggunakan ayat dari surah anNisa' ayat 3 untuk dijadikan hujah pensyariatan poligami.
فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوافَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلَّا تَعُولُوا
".. maka nikahilah perempuan-perempuan yang kalian senangi, dua atau tiga atau empat. Bila kalian takut tidak bisa berbuat adil, maka nikahilah satu perempuan saja atau budak-budak kalian. Yang demikian itu lebih membuat kalian tidak berbuat zhalim."
ayat ini memang ayat pensyariatan poligami tetapi bukanlah ayat ini mengangkat poligami sebagai asas sebuah perkahwinan dalam Islam.
ini gambaran yang doktor ceritakan.
ketika zaman jahiliyyah, para sahabat masing-masing memiliki isteri yang banyak. Malah saat ayat ini diturunkan, ada sahabat yang memiliki 10 orang isteri.
Maka ayat ini membenarkan para sahabat membuat pilihan dari jumlah isteri mereka, kepada sejumlah yang dihadkan iaitu paling maksima 4 orang.
"Kalau Allah hanya mensyariatkan seorang isteri, pasti susah untuk para sahabat ketika itu. Maka Allah yang Maha Tahu meringankan mereka.."
Dan Allah mengingatkan bahawa perkahwinan satu itu adalah lebih baik jika kita tahu tidak mampu berlaku adil. Dan itu adalah yang lebih menenangkan serta terhindar dari berlaku zalim.
Bukankah Islam itu deen yang teliti?
"Jangan banyak cakap. Poligami itu sunnah nabi la!".
Sunnah yang terbesar adalah Dakwah dan Tarbiyah. Telahkah kalian selesaikan wahai para suami?
Berdiri semasa tahajud sehingga lutut menjadi lebam, bukankah itu sunnah yang tercatat dalam seerah?
Berjihad di jalan Allah dengan bilahan pedang dan membawa kemenangan kepada Islam, bukankah itu kehidupan Rasulullah saw? Apakah pernah kalian menghirup debu medan jihad wahai para suami?
Lantas, mengapa tidak sunnah-sunnah BESAR itu yang kalian perjuangkan?
Syarat Untuk Tidak Berpoligami Semasa 'Aqad.
"Eh, boleh ke?".
Ramai yang hairan apabila saya berkongsi berkenaan perkara tersebut. Sedangkan bukan saya yang membuat hukum.
Walaupun menjadi perselisihan para fuqaha' namun Imam Hambali dan sejumlah ahli 'ilmi yang lain membenarkan diletakkan syarat dalam 'aqad dan perkara ini dirajihkan oleh jumhur ulama' dengan syarat:
1) Bukan dari apa yang telah disyariatkan, dan bukanlah dari yang dihalang syariat.
2) Tidak menafikan maksud aqad nikah.
Contoh: Tidak dibenarkan isteri membuat syarat larangan mensetubuhi dirinya.
3) Tidak berselisih dengan nas dari nas-nas syara'.
4) Membawa maslahah kepada salah seorang pasangan.
5) Tidak membabitkan pihak selain dari suami isteri.
Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.:
وعنْ عُقبةَ بنِ عامرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قالَ: قالَ رسولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((إِنَّ أَحَقَّ الشُّرُوطِ أَنْ يُوَفَّى بِهِ مَا اسْتَحْلَلْتُمْ بِهِ الْفُرُوجَ)). مُتَّفَقٌ عليهِ
Dan syarat ini WAJIB dipatuhi. Ulama' sepakat jika ada pihak yang melanggar maka pihak tersebut berdosa.
Syarat ini termasuklah syarat tidak mengeluarkan isteri dari negaranya, tidak menghalang isteri dari bekerja, dan sebagainya.
Jika suami melanggar perjanjian, maka hak ke atas isteri untuk menuntut fasakh dan isteri berhak ke atas hak-hak perkahwinan (nafkah, mahar tertunggak dan lain-lain)
Begitu juga para suami boleh meletakkan syarat seperti isteri mesti mengikuti bersama ke negara yang suami bekerja di dalamnya, isteri tidak boleh bekerja di luar rumah dan sebagainya.
Jika isteri melanggar perjanjian, maka suami boleh menuntut fasakh dan terangkat hak-hak isteri terhadap mahar tertunggak dan nafkah 3iddah.
Dan syarat ini mestilah ditulis.
Mengelak Mudharat Yang Lebih Besar.
Bahagiakan Diri Dengan Satu Isteri -Pak Cahya di Takariawan-
Mengambil subjek Firaq Zawwaj dalam sem ini, atau dalam bahasa melayunya penceraian, kami belajar dari 10 jenis fasakh yang boleh dituntut dari hakim ialah 'permisahan tebusan'.
Fasakh ini membenarkan seorang isteri yang datang kepada hakim dengan bukti jelas bahawa dia tidak mampu meneruskan kehidupan bersama suaminya atau dia benci kepada suaminya dan dia takut seandainya tetap diteruskan, maka dia tidak mampu melaksanakan hukum Allah seperti taat, patuh, cinta dan sebagainya kerana kebencian tersebut, maka dibolehkan fasakh dengan syarat terangkat ke atasnya segala hak-hak perkahwinan dan telah dihantar hakim seorang wakil mahkamah (penasihat syariah kekeluargaan) yang dipercayai untuk membantu dalam membaik pulih hubungan suami isteri tersebut.
Jika tidak berjaya juga, maka hakim akan menghantar 2 orang wakil, seorang dari keluarga sebelah lelaki dan seorang dari keluarga isteri untuk membantu menyelesaikan masalah mereka. Tempoh yang diberikan ialah selama 30 hari. Jika tidak dapat diselesaikan juga, maka hakim akan menjatuhkan fasakh.
Pointnya di sini ialah, bukan menggalakkan penceraian tetapi melihat kepada keperluan persefahaman dan merai perasaan dalam kehidupan rumahtangga.
Realiti hari ini, para isteri dipaksa menerima poligami dalam keadaan mendera perasaan serta psychologynya. Maka bukankah itu boleh membawa kepada kebencian dan rasa memberontak sekaligus boleh membawa kepada penceraian.
Justeru, meletakkan syarat tidak berpoligami selagi isteri mampu memenuhi hak suami adalah salah satu dari penghalang kepada perkara yang membawa kemudharatan tersebut.
Sungguh. Memenuhi tanggungjawab dengan jaminan kesetiaan adalah lebih membahagiakan.
2 comments
suka entry ini.. =)
Mmg manis bagi suami bila menikmati poligami tapi pahit bagi isteri untuk menghadapi kehidupan berpoligami ni sehari-hari...tapi semuanya bergantung pada suami yg menahkodakan bahtera rumahtangga tu sendiri..tepuk dada tanya iman dan tanya kemampuan diri