MACHANG - Setelah lima bulan, Ustaz Budak atau nama sebenarnya Shamsul Zaman Sukri, 24, tampil memberi penjelasan dakwaan beliau menyamakan Menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Nabi Muhammad SAW.
Shamsul Zaman yang baru pulang dari Yaman berkata, beliau tidak pernah menyamakan Mursyidul Am Pas itu dengan Nabi, sebaliknya menerangkan kepimpinan dan pemerintahannya yang mencontohi Rasulullah SAW.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat semasa ceramahnya di Johor tiga tahun lalu itu dimanipulasi pihak tertentu demi kepentingan politik.
”Saya bukan menyamakan Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dengan Nabi, tetapi memberi contoh atau perumpamaan kepimpinan yang dilaksanakan oleh Tok Guru sama seperti nabi. Ulama adalah pewaris Nabi, maknanya ulama ini pengganti Nabi tetapi bukan Nabi secara fizikal.
”Jika saya menyamakan Tok Guru dengan Nabi, maka sesatlah saya, kafirlah saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Paloh Rawa di sini, semalam.
Akhir tahun lalu, rakaman video ceramah Shamsul Zaman yang dikatakan melabelkan ulama dan Mursyidul Am Pas itu seperti Nabi itu disiarkan sebuah portal sebelum mendapat reaksi pelbagai pihak.
Malah, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan menyerahkan memorandum kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan berhubung ceramah itu dan meminta penyiasatan dilaksanakan bagi mengelak akidah umat Islam terpesong.
Dalam masa sama Mufti Kelantan, Datuk Syukri Mohamad meminta Syamsul Zaman bertaubat kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan akidah.
Sementara itu, Syamsul Zaman turut mempertikaikan kenapa rakaman kuliah agama itu tidak disiarkan secara keseluruhan, tetapi tertumpu kenyataan itu sahaja.
Katanya, penyebaran video itu menyebabkan salah faham dan menimbulkan tanda tanya di kalangan orang ramai terutamanya apabila ia membabitkan soal akidah.
”Apa yang pasti, video itu telah ditokok tambah, malah saya sendiri tidak tahu macam mana video itu boleh tersebar sedangkan tiada sebarang rakaman dilakukan ketika itu.
”Saya bukan penceramah Pas seperti yang didakwa. Saya penceramah bebas. Kalau Umno jemput saya sekalipun, saya terima, namun apa yang saya perjuangan dengan apa yang dilakukan Menteri Besar ketika ini selari” katanya yang berceramah di merata tempat, termasuk masjid dan surau sejak 12 tahun lalu.
Shamsul Zaman berkata, beliau agak terkejut dengan penyebaran video itu namun menerimanya secara terbuka dan menganggapnya sebagai ujian ALLAH SWT.
Katanya, beliau bersedia memberi penjelasan kepada khalayak termasuk Kerajaan Kelantan jika diminta berbuat demikian bagi mengelakkan salah faham yang berterusan.
“Saya tidak gementar dengan ujian ini dan bersedia (hadapi) setiap yang berlaku, malah ia memberi kekuatan untuk terus berdakwah,. Namun jika diberikan peluang kepada saya untuk berada di petas umum termasuk bersama Menteri Besar dan ulama lain untuk menerangkan apa saya ucapkan sebelum ini,” katanya.
sumber : sinarharian
Kata al Maududi, dunia ini derita tanpa Islam. Bahkan kata Muhammad Abduh, 'agama Islam itu tertutup oleh orang Islam sendiri.' Ini kerana kita hanya berfikir dari kerangka Islam itu untuk umat Islam saja, seperti milik eksklusif orang arab atau melayu. Walhal, Islam adalah rahmatan lil'alamin. Kita perlu bangkit dengan memberikan solusi-solusi dari prinsip dan nilai Islam itu sendiri sehingga mereka (bukan Islam) berkata, 'wah, inilah solusi (dari Islam) yang kita cari.' Ingat Zidane? Perancis tidak peduli sama ada Zidane itu Islam atau kafir. Yang penting ialah Zidane mengharumkan nama Perancis dalam bola sepak dengan menjaringkan gol. Kata kunci, menyumbang. Kata Nabi SAW, 'sebaik-baik manusia ialah manusia yang berguna kepada manusia lain.'