“Hari itu matahari seolah tergesa-gesa terbenam, bagai tidak mahu menjadi saksi kejadian yang berlaku.”
“Rupanya hatiku terlalu lemah.” Kata-kata itu dilafazkan Moataz, seorang ayah yang menangis sambil mendukung anaknya. Air matanya mengalir membasahi pipi. Air mata seorang lelaki memang menyakitkan, seperti api yang membakar.
Adiknya Munzer menepuk bahunya sambil jari-jemari mengesat air mata. “Ia sudah berakhir; Islam telah pulih. Kau pun dapat melihatnya,” katanya yang cuba melegakan keresahan hati abangnya.
Moataz memeluk anaknya dan merapatkan wajahnya. Dia mahu menghayati detik bersama anak itu kerana tak mahu kehilangannya. Tanpanya, hidup seolah tiada makna.
Jalan mulai lengang saat malam mula melabuhkan tirainya. Suasana Ramadhan mengambil tempat; kelihatan seorang peniaga menjual manisan dan kanak-kanak bermain dan berlari.
“Masihkah kau ingat saat majlis perkahwinan kita dahulu? Moataz bertanya kepada abangnya.
Munzer memandangnya dengan perasaan kasih. Aku tak akan lupakan hari itu. Aku sepatutnya berkahwin sebelum kau tapi kau mahu kita langsungkan perkahwinan bersama.
“Dan kau bertegas mahu jadi doktor. Jadi kau lambat, dan aku sempat memintasmu”. kata Moataz sambil ketawa.
Mereka terus menunggang motosikal dengan tenang, sambil hati berbunga gembira kerana Islam sudah sembuh dari kesakitan yang panjang.
Tiba-tiba suasana bertukar kelam kabut dan menakutkan. Orang ramai berlari, menjerit ketakutan, dan langit hiruk pikuk bergema dengan desingan jet Israel yang “memburu musuh”.
Tembakan jet Israel mengenai sasarannya. Dengan sebuah roket yang dilancar, tiga tubuh terkulai hangus tak bernyawa dan dikejarkan ke hospital.
Ketiga-tiga mayat rakyat Palestin itu tidak mudah dikenalpasti. Identiti mereka kemudiannya disahkan sebagai Islam Eqaraqe’, 2 tahun, ayahnya Moataz Eqaraqe’ dan bapa saudara, Munzer Eqaraqe’. Mereka terbunuh setelah dibom roket yang dilepaskan oleh jet tentera Israel pada 20/08/2011 di Jalan Jamal Abdul-Nasser di Gaza City.
Ayah yang syahid, Dr. Moataz Eqaraqe’, meninggalkan seorang balu. Bapa sudara yang syahid, Dr. Munzer Eqaraqe, meninggalkan seorang balu dan dua anak kecil (Basem dan Yara).
** Kisah ini disumbangkan oleh penulis, Fathi Tobail kepada IMEMC