Rasulullah SAW bersabda:
"Kalau Allah menginginkan kebaikan bagi seorang hamba, maka Allah akan memberikan siksaanNya secara lebih awal di dunia saja.." (Diriwayatkan oleh At Tirmidzi)
Dari Anas bin Malik Ra diriwayatkan bahwa ia menceritakan: Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya pahala yang besar didapatkan melalui cobaan yang besar pula. Kalau Allah mencintai seseorang, pasti Allah akan memberikan cobaan kepadanya. Barangsiapa yang ridha menerima cobaannya, maka ia aman menerima keridhaan Allah. Dan barangsiapa yang kecewa menerimanya, niscaya ia akan menerima kemurkaan Allah." (Diriwayatkan oleh At Tirmidzi).
Ibadat yang dilakukan ketika sakit walaupun tidak sesempurna amalan orang sihat sebenarnya setaraf dengan amalan orang sihat. Malah, jika dilakukan dengan sesabar mungkin akan menatijahkan ganjaran pahala yang lebih besar di sisi Allah berbanding ibadat yang dilakukan oleh orang yang sihat. Contohnya, bagi yang tidak mampu berpuasa boleh menggantikan dengan membayar fidyah RM2.00 satu hari didarab dengan 30 hari bermakna bayaran RM60 kepada fakir miskin boleh setanding (equivalent) dengan orang yang berpuasa 30 hari. Mudah bukan? Walaupun kelihatan seperti rugi di sisi manusia tetapi di sisi Allah ganjarannya sama sahaja.
Baru-baru ini saya menghadiri satu kuliah mengenai fiqh ibadat untuk orang-orang sakit. Selama ini saya hampir tidak pernah menghiraukan mengenai cara-cara untuk melakukan ibadah di kala sakit samada sakit yang kronik (yang tiada harapan untuk sembuh) seperti leukemia, kanser atau sakit yang bersifat sementara seperti demam atau luka di tangan yang boleh sembuh. Sebenarnya berbahagialah kepada mereka yang menderita sakit.
Kenapa saya katakan berbahagialah?
Selain dari ujian dari Allah yang menggugurkan dosa-dosa, meningkatkan darjat di sisi Allah, sakit itu adalah manifestasi kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hambanya.
Namun, tidak ramai yang berfikiran sebegini. Sakit dianggap satu malapetaka. Sakit dianggap sebagai penghalang untuk melakukan pekerjaan. Sakit sebagai sesuatu yang perlu dielakkan. Tidak hairanlah jika ramai yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi setiap bulan untuk keperluan vitamin dan makanan tambahan. Walaupun kita dituntut untuk menjaga tubuh badan yang diamanahkan oleh Allah, namun perlu diingat bahawa penyakit boleh datang dan pergi dengan izin Allah. Sakit itu tanda bahawa Allah mengingati kita dan ingin memberi peringatan kerana mungkin ada perkara-perkara maksiat yang kita lakukan tanpa kita sedari. Justeru penyakit datang lalu menggugurkan dosa-dosa mereka yang sabar menghadapinya.
Ramai yang mengganggap penyakit yang ditanggung akan membataskan seseorang dari melakukan amal ibadah fardhu seperti solat dan puasa tetapi sebenarnya pandangan ini adalah silap di sisi Islam.
Orang yang sakit lebih terbuka peluang untuk melakukan ibadah seluas-luasnya. Orang yang sakit lebih mudah untuk melakukan ibadah. Orang yang sakit diberi kelonggaran dan kemudahan seluas-luasnya oleh syarak.
Antaranya kewajipan berwuduk terangkat dengan digantikan dengan tayammum bagi mereka yang tidak mampu melakukannya kerana keuzuran. Solat fardhu boleh dilakukan dalam keadaan duduk, berbaring, dengan isyarat mata dan isyarat hati. Puasa pula boleh digantikan dengan membayar fidyah kepada orang miskin dan fakir. Maka apa lagi alasan untuk mengatakan tidak mampu melakukan ibadah di hadapan Allah kelak. Fikirkanlah…
Prinsipnya mudah sahaja iaitu selagi akal masih belum hilang maka kewajipan untuk melakukan amalan-amalan fardhu tidak pernah terangkat sama sekali, cuma diberi keringanan oleh Islam. Keringanan yang menandakan kasih sayang Allah kepada kita. Keringanan yang memberi ruang untuk hamba-hambanya melakukan ibadah seluas-luasnya tanpa alasan apa sekalipun.
Itulah tanda fleksibiliti dalam Islam. Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Islam agama yang‘aacommodative’ untuk semua manusia tanpa mengira di mana sahaja kita berada dan ruang budaya yang diamalkan. Islam itu mudah dan tidak menyusahkan.
Ustaz Azhar menceritakan pengalamannya menjadi penasihat agama untuk sebuah pusat perubatan hemodialisis di Kuala Lumpur. Hasil daripada pemerhatiannya kepada pesakit-pesakit di situ dibukukan dengan memasukkan pandangan ulama-ulama muktabar seluruh dunia serta fatwa-fatwa terkini.
Saya masih ingat psanan beliau setiap kali beliau memberi kuliah mengenai fiqh orang sakit ini iaitu:
” Orang sakitlah yang paling mudah melakukan amal ibadah. Orang sihatlah lebih susah untuk melakukan amal ibadah. Orang sakit diberi kelonggaran seluas-luasnya oleh Islam.
Maka pandangan bahawa sakit akan membataskan dan mengurangkan pahala ibadah tidak boleh diterima kerana kelonggaran yang diberikan adalah satu anugerah Allah untuk mereka yang dipilih Allah. Rebutlah kesempatan yang diberikan dan usahlah berduka lara kerana ganjaran pahala pasti menanti bagi mereka yang bersabar menghadapinya.