Kematian Pasti Akan Tiba


Manusia yang tenggelam dalam kemewahan dunia, dikuasai
oleh hawa nafsu dan hidup dibelenggu dengan perbuatan
maksiat amat sikit bahkan mungkin juga sama sekali
tidak mengingati bahawa malaikat maut pasti akan
datang membawa perintah Allah S.W.T untuk meragut
nyawanya. Sekiranya golongan ini mengingati kematian,
pasti mereka bukan ketakutan atau bersedih hati kerana
mengingatkan apa yang bakal dihadapinya di alam
akhirat kelak, tetapi ia gusar mengenangkan
harta-bendanya serta segala kemewahan dunia yang bakal
ditinggalkannya. Firman Allah S.W.T.:

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan
bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan
disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang
dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka
sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa)
kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya
dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah
kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. - Aali
‘Imraan (3) : 185

Ketahuilah bahawa kematian pasti akan tiba terhadap
seluruh umat manusia tanpa mengenal erti bangsa,
kedudukan dalam masyarakat, kekayaan harta benda
mahupun golongan yang dilihat gagah perkasa. Tiada
sesiapa pun yang boleh melarikan diri dari menghadapi
maut. Apabila telah ditetapkan waktu kematian bagi
seseorang maka ianya tidak akan tertunda atau
dipercepatkan walaupun sesaat. Firman Allah S.W.T.:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang
kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan
menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada
Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang
nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu
telah lakukan (serta membalasnya)". - Al-Jumu’ah (62)
: 8

"Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari
dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak
terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu;
(maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana
sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah,
apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan;
kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu
segera beriman)". – Nuh (71) : 4

Dengan mengingati kematian maka kita akan lebih
berwaspada dalam menghadapi liku-liku kehidupan. Kita
akan sentiasa berusaha untuk menurut perintah Allah
S.W.T dan Rasul-Nya dan meninggalkan segala
larangannya kerana kita tidak tahu bila ajal akan
menjemput kita. Dengan mengingati kedatangan kematian
ianya boleh menyebabkan kita teruja untuk membuat
persiapan yang rapi untuk menghadapinya nanti. Oleh
itu Islam amat menganjurkan agar kita sentiasa
mengingati tentang kematian.

Di antara cara-cara yang terbaik untuk mengingati
kematian adalah seperti berikut:

a) Kita menegenangkan ahli keluarga kita, sahabat
handai kita mahupun sesiapa sahaja yang boleh
mempengaruhi hidup kita yang telah terlebih dahulu
meninggal dunia. Kita kenangkan mereka semasa hidup
dahulu mungkin memiliki harta kekayaan yang banyak,
jawatan yang besar serta disanjung masyarakat tetapi
kini dibiarkan keseorangan di dalam kubur. Hartanya,
kedudukannya serta sanjungan orang ramai tersebut kini
telah terpisah darinya. Rentetan dari itu hendaklah
kita serapkan dijiwa kita bahawa kematian juga pasti
akan menjemput kita dan kita juga bakal akan
keseorangan di alam kubur.

b) Hendaklah kita menziarahi kubur kerana ianya dapat
membantu kita untuk mengingati bahawa kita juga akan
menghadapi nasib yang serupa dengan ahli kubur
tersebut.

…maka berziarah kuburlah kamu, kerana hal itu
mengingatkan kita kepada kematian. - Hadis riwayat
Imam Muslim, hadis no: 976.

Malah doa yang disunnahkan ketika menziarahi kubur
juga mengingatkan yang sedang berdoa bahawa dia juga
bakal menyertai ahli kubur tersebut di masa hadapan.
Di antara doa-doa tersebut adalah:

Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan
muslimin dan insya Allah kami akan menyusulmu. Aku
mohon keselamatan kepada Allah bagi kami dan kalian. -
Hadis riwayat Imam Muslim, no: 975.

Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan
muslimin, semoga Allah memberi rahmat kepada
orang-orang terdahulu dan orang-orang terkemudian dari
kami dan insya Allah kami akan menyusul. - Hadis
riwayat Imam Muslim, no: 974.

c) Islam juga menganjurkan kita untuk menziarahi orang
sakit serta menghadiri majlis pengkebumian seorang
Muslim yang lain kerana sedikt-sebanyak
perkara-perkara tersebut dapat mengingatkan kita
tentang kematian. Al-Barra’ bin ‘Aazib r.a berkata:

Rasulullah s.a.w. menyuruh menjenguk orang sakit,
menghantarkan jenazah, menyambut doa pada orang
bersin, menepati sumpah, menolong orang yang
teraniaya, mendatangi undangan dan menyebarkan salam.
– Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 2445.

Menyedari bahawa mengingati kematian ini dapat membawa
nilai-nilai yang positif terhadap setiap insan maka
terdapat banyak dalil yang menganjurkan manusia agar
selalu ingat bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah
sementara. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Perbanyakkanlah mengingat pemutus kenikmatan iaitu
kematian – Hadis riwayat Imam Ibnu Majah, no: 4248

Namun begitu mengingati kematian bukan bermaksud kita
mendoakan agar dipercepatkan kematian terutamanya
ketika kita ditimpa musibah kerana perbuatan tersebut
adalah dilarang oleh syarak. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Janganlah seseorang itu menginginkan mati kerana bala
yang menimpanya, tetapi jika dia terpaksa menginginkan
kematian maka hendaklah membaca (doa):

Ya Allah, lanjutkanlah hidup saya sekiranya hidup itu
lebih baik bagiku dan segeralah matikan saya sekiranya
mati itu lebih baik bagiku. – Hadis riwayat Imam
al-Bukhari, no: 5671.

Mengingati kematian sekadar meyakini bahawa lambat
laun ajal kita pasti akan ditamatkan dan kita perlu
mempersiapkan diri untuk menghadapi maut. Rasulullah
s.a.w. juga telah mengkategorikan insan yang sentiasa
mengingatkan kematian sebagai manusia yang paling
bijaksana.

Dari Ibnu ‘Umar dia berkata: Aku bersama Rasulullah
s.a.w., lalu seorang lelaki Ansar datang kepada
baginda kemudian mengucapkan salam kepada Nabi s.a.w.
lalu dia bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah di antara
kaum mukminin yang paling utama?

Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya di antara
mereka.

Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin
yang paling cerdik?

Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati
kematian di antara mereka, dan yang paling bagus
persiapannya setelah kematian. Mereka itu orang-orang
yang cerdik. – Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah, no:
4249.

Mengingati kematian juga boleh mendatangkan ketenangan
jiwa bagi seseorang yang sedang menghadapi kesulitan
hidup. Ia akan menimbulkan kesedaran bahawa dunia
bukan segala-galanya dan selepas kematian ada alam
yang kehidupan serta kenikmatannya kekal abadi
selama-lamanya. Bagi mereka yang dianugerahkan dengan
kesenangan dalam kehidupan, maka mengingati kematian
dapat menjauhkannya dari segala kerlipan serta godaan
duniawi. Kematian akan menyedarkannya bahawa segala
kesenangan berbentuk duniawi itu tidak kekal dan dia
bakal akan berpisah darinya. Hanya kehidupan di alam
akhirat yang kekal abadi. Ini dapat menggerakkan
jiwanya untuk mempergunakan segala kesenangan di dunia
itu demi untuk mencapai kebahagian di akhirat. Sabda
Rasulullah s.a.w.:

Perbanyakkan mengingati pemutus kenikmatan iaitu
kematian, kerana sesungguhnya tidaklah seseorang yang
mengingatinya di waktu sempit kehidupannya, kecuali
(mengingati kematian) itu melonggarkan kesempitan
hidup atas orang itu. Dan tidaklah seseorang
mengingatinya di waktu luas (kehidupannya), kecuali
(mengingati kematian) itu menyempitkan keluasan hidup
atas orang itu. – Hadis riwayat Imam al-Suyuthi di
dalam al-Jami’ al-Saghir no: 1400.

Oleh itu dengan menyedari setiap yang bernyawa pasti
akan menghadapi maut dan maut itu akan datang pada
waktu yang hanya diketahui oleh Allah S.W.T. tanpa
penangguhan mahupun dipercepatkan waktu kehadirannya,
pasti ianya akan menimbulkan semangat untuk segera
melakukan amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada
Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya seseorang itu
menangguh-nangguhkan untuk melakukan amalan yang soleh
dan ternyata ajalnya tiba ketika sedang asyik
melakukan maksiat maka dia termasuk orang yang merugi
dan bakal mendapat balasan yang buruk di akhirat
kelak. Firman Allah S.W.T.:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu
dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan
anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan
menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa
yang melakukan demikian, maka mereka itulah
orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah (dermakanlah)
sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu
sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut
kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan
merayu dengan katanya: "Wahai Tuhanku! Alangkah
baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku
- ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku
dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari
orang-orang yang soleh". Dan (ingatlah), Allah tidak
sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau
sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan
Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai segala
yang kamu kerjakan. – al-Munaafiquun (63) : 9-11

Justeru itu setiap umat Islam seharusnya memanfaatkan
seluruh kehidupannya dengan cara yang terbaik iaitu
dengan mengerjakan segala amalan yang diperintah oleh
Allah S.W.T. dan Rasul-Nya dan meninggakan
larangan-Nya sebelum ditimpa kematian.

Dari ‘Abdullah bin ‘Umar dia berkata: Rasulullah
s.a.w. memegang bahuku lalu bersabda:

Jadilah engkau di dunia ini seolah-olah seorang yang
asing atau seorang musafir.

Dan Ibnu ‘Umar menyatakan: Jika engkau masuk waktu
subuh, maka janganlah engkau menanti senja. Jika
engkau masuk waktu senja, maka janganlah menanti
subuh. Ambillah dari kesihatanmu untuk sakitmu dan
ambillah dari hidupmu untuk matimu. – Hadis riwayat
Imam al-Bukhari, no: 5937.

Oleh itu diwaktu badan kita sedang sihat ini hendaklah
kita manfaatkan semaksimum mungkin untuk menjadi hamba
yang beriman, bertakwa dan mengerjakan amal soleh.
Mana tahu entah esok mahupun lusa kita ditimpa
kecelakaan sehingga terpaksa hidup di dalam keuzuran
sampaikan kita tidak mampu melakukan amalan-amalan
yang soleh. Kita pergunakan hayat kita ini dengan
menghindari perbuatan maksiat kerana mungkin entah
esok mahupun lusa malaikat maut akan datang untuk
mencabut nyawa kita sedangkan kita masih bergelumang
dengan dosa.

Semoga penulisan ini akan mengingatkan diri kita semua
terutamanya penulis sendiri akan kematian yang bakal
tiba dan mudah-mudahan ianya dapat meningkatkan
keinginan kita untuk melakukan apa jua persiapan yang
sewajarnya demi untuk menghadapi kematian tersebut.
Hamid al-Qaishari pernah berkata:

Kita semua telah menyakini kematian, tetapi kita tidak
melihat orang-orang yang bersiap-sedia menghadapinya! 

Kita semua telah meyakini adanya syurga, tetapi kita
tidak melihat oarang yang beramal untuknya!

Kita semua telah meyakini adanya neraka, tetapi kita
tidak melihat orang-orang yang takut terhadapanya! 

Maka terhadap apakah kamu bergembira? 

Kemungkinan apakah yang kamu nantikan?

Kematian! Itulah yang pertama kali yang akan datang
kepadamu dengan membawa kebaikan atau keburukkan.

Wahai saudara-saudaraku! Berjalanlah menghadapi
Penguasamu (yakni Allah) dengan perjalanan yang bagus.
– Mukhtashar Minhajul Qashidin, ms. 483, tahqiq Syaikh
Ali bin Hassan al-Halabi.


Syukran jiddan ..sudi baca entry nie


1 comment

6 Oktober 2012 pada 11:28 PTG

pasti datang..cepat atau lambat sahaj tetapi tak lewat dan tak tercepat walau sedetik..Allahurobbi..

Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Full Edit By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.