Surat untuk Encik Doktor..




Assalamualaikum, Encik Doktor.

Ya, awaklah. Siapa lagi kalau bukan awak yang sedang membaca surat saya ini?

Pasti awak terkesima apabila menerima surat saya ini. Ya, inilah kali pertama saya mengutus sepucuk surat buat awak. Kehadiran surat saya ini, tidak lain tidak bukan adalah untuk menyapa awak, menegur semampu mungkin.

Biarlah saya berterus-terang. 2 hari yang lepas, saya telah dengan tidak sengajanya ternampak perilaku awak di belakang bangunan jabatan Community Medicine. Awak bersama seorang lagi, yang saya tidak pasti siapa. Awak sedang merokok!



Saat itu, jantung saya seakan-akan diserang Myocardial Infarction. Otak seolah-olah tidak dapat menerima sebarang nerve impulse. Paru-paru sepertinya tidak mahu menyedut oksigen lagi. Sungguh tak terkata.

Namun hari ini saya sudah membuat keputusan. Saya tidak mahu membiarkan awak berterusan begitu. Saya mahu menasihatkan awak. Boleh jadi, awak mahu terus membaca surat saya ini.

Persetankan pensyarah-pensyarah dan pelajar-pelajar Arab lain yang juga merokok. Saya juga tidak faham, mengapa mereka merokok sesuka hati mereka. Tapi, saya percaya pada awak. Saya percaya, awak ada kemampuan berfikir yang lebih daripada orang lain. Masakan matapelajaran Pathology yang sebegitu mudah itu, tidak dapat awak hadamkan dengan baik. Saya pasti, awak sudah sedia maklum apa yang bakal berlaku bila awak merokok. Bukankah doktor sudah mengajarkannya kepada kita? Aib, aib jika sekiranya awak tidak berjaya memahamkan matapelajaran sekecil itu.

Tidak mengapa, saya masih mahu bersangka baik dengan awak. Mungkin awak terlupa. Ya, terlupa. Manusia kan sifatnya pelupa? Maka, tidak salah rasanya kalau saya cuba mengingatkan kembali apa yang telah awak lupakan itu. Sekarang sila buka buku Systemic Pathology Edisi 2010-2011. Terus ke muka 40. Emphysema. Terus ke bahagian definisi. Tuntasnya, ia bermaksud kerosakan kekal pada paru-paru disebabkan oleh pengembangan yang berlebihan. Penyakit ini lebih mudah dihidapi oleh awak, sebab bronchus awak itu ada banyak Neutrophil dan Macrophage . Sel-sel ini akan menghasilkan enzim protease yang berlebihan yang akan menyebabkan kerosakan pada tisu dalam paru-paru awak. Merokok juga boleh mempercepat aktiviti enzim tadi. Sebenarnya, Allah Taala telah menciptakan sejenis bahan yang dinamakan sebagai α 1-AT untuk melindungi paru-paru kita daripada penyakit ini. Eh, rupa-rupanya awak tidak bersyukur dengan nikmat ini. Rokok yang di dalamnya ada oxidant yang boleh menghalang fungsi α 1-AT itu disedut sesedap hati. Nah, sekarang rasakan bagaimana sakitnya mahu hidup tanpa paru-paru yang sihat.

Belum lagi saya sebutkan kesan-kesan lain yang berjela-jela itu. Rasanya tidak perlu dicoretkan di sini. Terlampau panjang surat ini nanti. Bukalah buku teks Pathology, Toxicology, dan Physiology. Awak pasti akan bertemu dengan perkataan ‘cigarette’.

Percayalah, di mata saya, awak tidak kelihatan cool mahupun macho saat awak menghebuskan kepulan-kepulan asap rokok itu. Ya, bagaimana mungkin seseorang yang sedang membunuh diri boleh kelihatan hebat di mata saya?

Semalam saya baru sahaja membaca buku bertajuk ‘Selagi Masih Muda’ karangan Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni. Dijadikan cerita, pembacaan saya tiba di muka surat 211. Awak tahu, apa yang dicoretkan pengarang di muka surat itu? Kata pengarang, "apabila seorang perokok menghisap rokok selama 6 minit, maka dalam 1 hari atau ¼ hari, dia akan menyia-nyiakan waktunya sebanyak 6 jam. Hal itu bererti ia menyia-nyiakan waktunya sebanyak 180 jam dalam sebulan dan 2190 jalam dalam 1 tahun, atau sama dengan 91 hari dalam satu tahun. Padahal merokok itu menggerogoti dan membinasakan kesihatannya, agamanya dan masa depannya."

Saya ingin menasihati awak supaya menghargai masa muda awak. Banyak lagi hal-hal yang lebih berfaedah yang boleh awak lakukan. Percayalah.





Saya harap awak sedar yang saya tidak ingin berkahwin dengan awak yang begini. Walaupun ada sifat-sifat awak yang saya suka dan kagumi, tetapi tabiat merokok awak itu telah menghancur leburkan semua impian saya. Seolah-olahnya awak tidak mahu hidup lama dengan saya. Ya lah, awak kan sedang mempercepat waktu untuk meninggalkan dunia ini. Rasanya, saya tidak sanggup membiarkan anak-anak saya menjadi yatim disebabkan sikap awak yang tidak mahu berubah itu. Ya, saya bukan Tuhan untuk menentukan bila saatnya kita mati. Saya juga tidak sesempurna mana. Tetapi, tidak salahkan sekiranya saya mahu berusaha merancang supaya keluarga saya nanti menjadi keluarga paling bahagia yang pernah saya miliki?

Ini hujah saya yang terakhir. Merokok itu haram di sisi agama kita, Islam. Kalau sekiranya awak tidak risau dengan apa yang telah saya katakan pada perenggan-perenggan sebelum ini, takutlah dengan yang ini. Saya bukan orang yang layak untuk menghuraikan hukum ini. Mungkin awak boleh bertanya pada yang lebih ‘arif.

Akhir kata, maafkan keterlanjuran kata-kata saya dalam surat ini. Tidak lain dan tidak bukan, saya sangat berharap dan berdoa supaya awak berubah. Ketahuilah bahawasanya saya menulis surat ini dengan sebuah harapan yang menggunung tinggi. Sekiranya awak sudah besetuju untuk berhenti merokok, katakanlah ‘tidak’ padanya dan hubungilah keluarga saya. InsyaAllah, saya setuju menerima awak Encik Doktor menjadi ketua, pengemudi keluarga bahagia kita itu.

Wassalam.

Yang benar,
Cik Doktor yang cantik... 


Syukran jiddan ..sudi baca entry nie


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Full Edit By Nabila Medan. All Right Reserved To Me.